Ketagihan pornografi: Rawatan ambil masa

Mohd Fadli Othman.- Foto: ROSLI TALIB
Mohd Fadli Othman.- Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Rawatan ketagihan pornografi di kalangan masyarakat khususnya anak-anak bukan sesuatu yang mudah dan prosesnya juga mengambil masa.

Sekretariat Bimbingan Fitrah Insani, Mohd Fadli Othman berkata, proses rawatan itu memerlukan kerjasama ibu bapa serta guru-guru untuk melengkapkan kognitif diri mereka terlebih dahulu termasuk dengan ilmu-ilmu mengenai pendidikan seksualiti itu sendiri.

Menurutnya, perkara itu sangat penting kerana ibu bapa terutamanya perlu cakna dan mengambil tahu apa tajuk-tajuk atau silibus yang anak-anak mereka belajar di sekolah, selain melihat apa yang 'trending' pada hari ini.

Beliau berkata, seterusnya ibu bapa juga perlu melengkapkan diri mereka dengan aspek spiritual dan apabila aspek itu serta kognitif kuat, ia akan melindungi dan mengukuhkan tiga lagi elemen lain iaitu emosi, fizikal dan sosial.

"Selain itu, apabila mengetahui mengetahui anak-anak kita terjebak dengan ketagihan pornografi, apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bukan dengan mengherdik atau memukul mereka, tetapi langkah pertama yang perlu diambil adalah ibu bapa itu sendiri perlu duduk berdua dan bermuhasabah.

"Ibu dan bapa perlu melihat semula apakah ketagihan yang berlaku kepada anak disebabkan mereka atau sejarah kehidupan mereka dahulu atau kerana salah didikan.

"Setelah itu, barulah mereka wujudkan satu lagi keadaan iaitu bermuhasabah bertiga bersama anak yang terlibat, jadikan seperti proses kaunseling," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk Ketagih Pornografi: Apa Ubatnya? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Turut menjadi panelis, penceramah bebas, Dr Nur Mohammad Hadi, sementara Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari Malaysia, Ustaz Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah al-Nur ayat 30-31.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fadli berkata, proses muhasabah dan berbincang bersama anak itu amat penting dan waktu yang paling sesuai adalah untuk bercakap dalam keadaan yang tenang.

"Bila waktu yang tenang itu? Waktu yang tenang adalah selepas selesai solat kerana solat berjemaah di rumah merupakan paksi kepada ketenangan dan perlindungan dalam sistem masyarakat serta keluarga.

"Proses 'rawatannya' akan memakan masa kerana ia melibatkan hubungan sosial dan emosi. Ibu bapa perlu bermuhasabah dan bertahajud bagi mendapatkan kekuatan serta diberi petunjuk oleh ALLAH SWT bagaimana untuk mereka bercakap perkara ini kepada anak-anak," katanya.

Katanya, paling penting ibu bapa tidak menggunakan kaedah herdik atau rotan anak kerana apabila ia berkaitan seksualiti atau pornografi, jika pendekatan itu diambil maka anak-anak tidak akan datang lagi kepada ibu bapa untuk meluahkan apa yang mereka rasa, sebaliknya mencari orang lain dan itu lebih bahaya.