Portfolio Exco akan dirombak ikut kesesuaian: MB Perak

 Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Portfolio bagi semua Exco Kerajaan Negeri Perak akan dirombak semula mengikut kesesuaian.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pindaan dan tambahan portfolio akan dilakukan berikutan terdapat pelantikan Exco Kerajaan Perak yang baharu.

Menurutnya, senarai muktamad portfolio dijangka akan diumumkan sebelum mesyuarat Exco pada minggu hadapan.

"Saya kena lihat balik kesesuaian bagi setiap Exco dan juga sesuai dengan perancangan pembangunan kerajaan.

"Barangkali ada sedikit pindaan kepada portfolio atau tambahan portfolio, jadi saya perlukan sedikit masa," katanya pada sidang akhbar di hadapan Istana Kinta di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua ADUN Pas kembali dilantik sebagai Exco Perak

Lima lagi ADUN angkat sumpah Exco Perak hari ini

Terdahulu, Saarani hadir menyaksikan majlis mengangkat sumpah jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini.

Pada majlis yang berlangsung secara ringkas itu, lima lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu masing-masing dua wakil daripada Pas, dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang daripada UMNO.

Mereka yang dilantik ialah Razman Zakaria (Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamarudin (Selama), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau), Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) dan Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya menjunjung kasih atas perkenan Sultan Nazrin melantik semula ADUN sebelum ini sebagai Exco.

"Insya-ALLAH, kita akan menumpahkan segala tenaga untuk memberi perkhidmatan kepada seluruh rakyat khususnya dalam tempoh sekarang ini keadaan ekonomi dan Covid-19 yang belum selesai.

"Kita juga akan mempertahankan supaya tidak ada keadaan politik yang tidak stabil dan kita tumpukan sepenuhnya perkhidmatan kepada rakyat," katanya.