X

Kindly register in order to view this article
!

Kapal tangki asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

Maritim Malaysia menahan sebuah kapal tangki kerana bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia pada kedudukan 4.2 batu nautika tenggara Tanjung Piai, Pontian, semalam.
A
A

PONTIAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki kerana bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 4.2 batu nautika tenggara Tanjung Piai di perairan Tanjung Piai dekat di sịni pada Isnin.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berukuran sepanjang 23 meter dengan enam kru termasuk nakhoda ditahan dalam Op Jaksa kira-kira jam 10.30 pagi.

Menurutnya, kesemua mereka merupakan warga Indonesia berusia antara 22 hingga 53 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut tidak mempunyai kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia dan berdaftar di Republik Guinea Khatulistiwa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mereka ditahan untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 di bawah Seksyen 491B (1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Maritim Johor akan sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negeri ini menggunakan sumber yang ada serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," tegasnya.

Sebarang aduan jenayah maritim di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS999 agar tindakan segera dapat diambil pihak maritim.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!