Abdul Hadi selesai menghadap Sultan Perak

Abdul Hadi melambai tangan ke arah media selepas selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta hari ini.
Abdul Hadi melambai tangan ke arah media selepas selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta hari ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang keluar dari Istana Kinta di sini selepas kira-kira 40 minit menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bagaimanapun, Abdul Hadi yang keluar sekitar jam 11.35 pagi menaiki kereta Mercedes Benz berwarna kelabu hanya melambai sambil tersenyum kepada pemberita yang sedia menanti di pekarangan istana berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan merakam setinggi junjung kasih kepada Sultan Nazrin.

“Datuk Seri Abdul Hadi telah diperkenankan menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertempat di Istana Kinta.

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Pas menghadap Sultan Perak

Pas akur apa sahaja keputusan Sultan Perak

Pas Perak yakin tidak akan ditinggalkan UMNO

“Beliau merakamkan setinggi junjung kasih kepada Tuanku di atas keprihatinan dan hikmah kebijaksanaan yang dizahirkan oleh baginda terhadap kemaslahatan agama, kestabilan politik dan ekonomi, serta kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat jelata,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang pada 10 Disember lepas telah mengutus warkah kepada Sultan Nazrin memohon menghadap baginda bagi menyembah maklum suasana politik yang melibatkan Pas.

Jumaat lepas, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan pada 8 Disember lepas.

Selain Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat Pas Perak terlibat ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Mohd Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, Razman dan Mohd Akmal dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, ketika istiadat angkat sumpah jawatan Exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 10 Disember lepas, tiada ADUN daripada Pas dalam senarai awal yang dilantik sebagai Exco, sebaliknya hanya melibatkan empat ADUN UMNO dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).