NTF diteruskan meskipun wabak Covid-19 berakhir: Panglima ATM

Affendi ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Op Benteng di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini. - Foto Bernama
Affendi ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Op Benteng di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penugasan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan diteruskan dan diperluaskan meskipun selepas pandemik Covid-19 berakhir, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, ini kerana NTF telah membuktikan keupayaannya dalam mengekang kemasukan migran di sempadan negara secara berkesan dalam tempoh Covid-19.

“Banyak kejayaan yang diperoleh NTF dalam mengekang kemasukan migran; dan NTF dalam tempoh Covid-19 ini juga digunakan untuk siap-siaga ancaman-ancaman lain yang bakal timbul.

“Selain itu, NTF mempunyai modul-modul operasi yang menampakkan kejayaan berkesan daripada segi aspek kawalan kemasukan migran, penyeludupan dan penguatkuasaan di sempadan negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Ops Benteng, di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

PTO Ops Benteng merupakan satu tanda aras kepada usaha kolaborasi interagensi yang diselaraskan dalam komponen Ops Benteng, dan ia ditandatangani 19 agensi penguatkuasaan dan pasukan keselamatan negara yang terlibat dalam Ops Benteng.

Mengulas mengenai rondaan bersepadu di sempadan negara, Affendi berkata ATM bersama agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia bertugas di sempadan negara mengikut sektor tertentu yang ditetapkan

“Di lapangan kami menggunakan dan mengkoordinasikan pasukan sedia ada dengan membuat satu pelan mengoptimumkan aset dan jumlah kerahan anggota ATM yang bertugas bersama agensi lain,” katanya.

Mengenai jenayah rentas sempadan, Affendi menzahirkan rasa kecewanya kerana kebanyakan kegiatan jenayah rentas sempadan masa ini didalangi tekong dan warga tempatan yang mengambil kesempatan daripada situasi semasa pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak boleh biarkan perkara ini terus berlaku kerana jika dibiarkan, ini akan merugikan semua pihak, terutamanya di dalam aspek kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negara ini,” katanya.

Menurut Affendi sepanjang tujuh bulan pelaksanaan Ops Benteng pihaknya berjaya menahan 9,677 migran, 831 tekong darat dan laut serta 374 penyeludup.

“Hasil daripada penahanan dan tangkapan ini, kami telah dapat mengumpulkan barang rampasan yang keseluruhannya bernilai sehingga RM199 juta,” katanya.

Turut hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som. - Bernama

-