Titah Sultan Perak perlu diambil perhatian serius: Mujahid

Dr Mujahid Yusof
Dr Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengingatkan bahawa sogokan atau imbuhan untuk mendapatkan sokongan dalam politik belum menjamin ia akan terikat dengan kesetiaan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, titah Sultan Perak itu perlu diambil perhatian serius oleh pimpinan politik negara kerana baginda telah meletakkan keperluan menilai semula cara berfikir dan amalan politik dalam negara.

“Amanah menjunjung kasih peringatan Tuanku yang sangat prihatin kepada teras politik yang berprinsip dalam memenuhi erti kesetiaan.

“Tuanku bertitah dengan firasat yang tajam bahawa wang ringgit atau kedudukan belum bererti kesetiaan terjamin dalam meraih sesuatu sokongan.

“Benar titah Tuanku dan itulah punca penyakit dalam kalangan setengah ahli legislatif negeri dan persekutuan,” kata dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, baginda juga meletakkan piawaian politik yang berhikmah dalam melahirkan kestabilan selain menegaskan bahawa rasuah akan menjejaskan pentadbiran yang sepatutnya berkhidmat untuk kepentingan rakyat.

Sementara itu, Mujahid turut menyifatkan amalan lompat kerana kedudukan, wang dan tidak menghormati mandat asal rakyat adalah antara isu yang menggegarkan politik Perak sejak awal tahun 2020 dan terkini.

Artikel Berkaitan: