SD Anwar: Jika fitnah pemimpin UMNO kena buat laporan polis, SKMM

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KOTA BHARU - Beberapa nama pemimpin UMNO yang dikatakan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berani tampil membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya perkara itu merupakan fitnah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, hanya individu yang tersenarai sahaja mengetahui perkara tersebut benar ataupun tidak dan seharusnya mereka perlu berterus terang.

Annuar berkata, setakat ini baik di peringkat parti, Majlis Tertinggi (MT) ataupun Muafakat Nasional dan BN sendiri perkara tersebut tidak pernah dibincangkan bahkan tidak sepatutnya ada isu SD untuk sokong Anwar.

“Kalau mungkin nak suka-suka sekalipun, hanya ‘batang tubuh’ penama itu sendiri yang tahu. Kalau fitnah jangan biarkan. Mesti berani membuat laporan, polis dan SKMM kena siasat.

“Kalau perkara itu betul sekalipun kena berterus terang. Jangan pula parti buat keputusan lain, manakala individu buat keputusan lain. Kesannya amat buruk kepada parti dan ia boleh membawa perpecahan.

“Kena terus-terang, main politik tidak boleh bersembunyi sembunyi... maka saya berharap perkara itu tidak benar,” katanya kepada pemberita hari ini selepas mengadakan pertemuan bersama blogger di Kampung Tapang di sini hari ini.

Antara nama yang dikatakan menandatangani SD menyokong Anwar ialah Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Ahmad Jazlan Yakob.

Mengulas lanjut perkara tersebut Annuar berkata, SD terakhir yang dilakukan peringkat tertinggi parti adalah menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Jadi bila rumos sebegini keluar saya tidak dapat hendak mengesahkan. Kalau orang buat belakang parti saya tidak boleh komen, takut tersalah komen.

“Sekiranya disebut (keputusan) sebuah parti ia melibatkan MT, pembuat dasar tidak boleh individu. Bila saya sebut parti ia berdasarkan kepada keputusan parti. Keputusan parti pula dibuat di peringkat mana?” soalnya.