Tak wajar Kedah berkorban, Pulau Pinang kaut untung percuma

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - [DKEMASKINI] Kerajaan Kedah tidak wajar mengorbankan kawasan hutan yang luas untuk dijadikan kawasan tadahan air sedangkan Pulau Pinang mengaut keuntungan daripadanya secara percuma.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan kerajaan Pulau Pinang sepatutnya membayar caj pengekstrakan air daripada sumber air mentah Kedah supaya dapat dimanfaatkan untuk rakyat di kedua-dua negeri.

Menurutnya, PBAPP mengekstrak 80 peratus sumber air mereka daripada Sungai Muda setiap hari iaitu sebanyak 1,100 juta liter sehari.

“Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) mengenakan caj kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk setiap meter padu yang diekstrak (800 mld) bagi membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah.

Caj yang sama harus dikenakan kepada PBAPP yang mengekstrak setiap meter padu menggunakan sumber air berasal dari Sungai Muda, walaupun sumber air diekstrak itu di sebelah sempadan negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, sumber air Sungai Muda bermula di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, iaitu kawasan tadahan air yang memerlukan pengekalan dan kelestarian untuk menjamin bekalan mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

"Kawasan tadahan melibatkan sebahagian besar tanah dalam wilayah Kedah sebelum mengalir menerusi Sungai Muda merentasi Kedah, melewati Pulau Pinang sebelum memasuki Selat Melaka.

Sebanyak 163,000 hektar tadahan itu memerlukan pemuliharaan, tidak diusahakan dengan aktiviti ekonomi yang mengubah rupa bumi dan fungsinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, persempadanan antara Kedah dan Pulau Pinang yang dibahagikan melalui sempadan sungai hanya berlaku di Kampung Pantai Prai (Kedah) dan Kampung Setui di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, katanya, perjanjian 1985 perlu disemak semula memandangkan keperluan bekalan air semakin meningkat termasuk keperluan kepada pembangunan dan pengekalan kelestarian alam semulajadi bagi mengekalkan sumber air.

"Merujuk kepada perjanjian 1985, persepakatan yang dicapai bertujuan “menjamin bekalan air dari Ulu Muda di Kedah.”

Jaminan hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang, bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selama-lamanya," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, selepas 35 tahun, keperluan untuk mengekalkan bekalan sumber air agar jaminan tersebut berterusan telah berubah mengikut keperluan dan permintaan bekalan air terawat pada masa kini.

"Apabila wujud kos penyelenggaraan sumber dan aliran, sewajarnya kos itu turut dipikul bersama Pulau Pinang selaku penerima faedah.

Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin meningkat," katanya.

Menurutnya, keadaan telah berubah apabila Akta 655 - Akta Industri Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA 2006) diluluskan di Parlimen, membawa reformasi dalam pengurusan dan pembiayaan bekalan air di seluruh negara.

"Beberapa agensi baru di peringkat Persekutuan dan negeri diwujudkan selaras kehendak akta, seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Sada, LSANK dan PBAPP di Pulau Pinang.

Jabatan Bekalan Air di negeri dimansuhkan. Pemisahan antara pengurusan sumber air dengan operator bekalan air adalah intipati penting akta ini," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, daripada perspektif keadilan sosial, PBAPP perlu memastikan sumbangan kepada rakyat benar-benar daripada sumber yang betul dan bersikap adil kepada agensi pemberi perkhidmatan.

"Perkongsian kos ini dengan membayar caj pengekstrakan air akan memanfaatkan rakyat keseluruhannya," katanya.

Muhammad Sanusi berharap kerajaan Persekutuan dapat menjadi fasilitator bagi menjayakan rundingan antara kedua-dua negeri terbabit.