X

Kindly register in order to view this article
!

Persatuan basikal ajak semua peka keselamatan jalan raya

Laporan Sinar Harian semalam.
A
A

SHAH ALAM - Sejak kebelakangan ini aktiviti berbasikal di jalan raya menjadi satu trend baharu rakyat Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan mendatangkan bahaya pada penunggang motosikal serta pengguna jalan raya yang lain.

Bagi mengatasi masalah itu, semua pengguna jalan raya terutama penunggang basikal perlu didedahkan dengan garis panduan yang betul bagi menjamin keselamatan mereka.

Timbalan Pengerusi Malaysia Mesra Basikal, Akmal Azfar berkata, aspek pendidikan perlu menjadi fokus utama sekiranya masyarakat mahu menyelesaikan isu tersebut tanpa menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.

Menurutnya, masih terdapat ruang yang boleh ditambah baik oleh kerajaan mahupun masyarakat dalam isu pendidikan keselamatan jalan raya di Malaysia khususnya bagi pengguna basikal yang dilihat semakin bertambah bilangannya sejak belakangan ini.

“Sebagai contoh, ketika mengambil lesen memandu, kita tidak didedahkan dengan kaedah berkongsi jalan dengan kenderaan lain atau pengguna kenderaan yang lebih kecil seperti basikal.

“Penunggang basikal di Malaysia juga tidak didedahkan dengan garis panduan untuk berbasikal,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad di sini semalam.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dilaporkan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 56 kematian daripada 137 kes kemalangan melibatkan penunggang basikal di negara ini bagi tempoh awal Januari hingga Oktober lepas.

Beliau berkata, selain daripada 56 kematian, 18 lagi cedera dan 63 cedera ringan.

ARTIKEL BERKAITAN: 56 penunggang basikal maut kemalangan sejak Januari

Sementara itu Akmal berkata, masyarakat tidak seharusnya bergantung kepada pihak polis sebaliknya perlu saling bekerjasama antara satu sama lain untuk menjadikan jalan raya di Malaysia selamat untuk digunakan oleh semua pihak.

“Sebelum kita bercakap mengenai penguatkuasaan undang-undang, kita kena fokus kepada pendidikan penggunaan jalan raya yang lebih baik kepada semua pemandu dan penunggang kenderaan,” katanya.

Berkenaan dengan beberapa kes menunggang basikal secara berbahaya yang tular sejak belakangan ini, Azfar berpandangan, perkara tersebut lazimnya hanya melibatkan penunggang basikal yang baru menceburi aktviti itu.

Turut bersetuju dengan pandangan tersebut ialah Penasihat Kelab Basikal Puchong Selatan, Khairul Anuar Muhamad Noh yang berpendapat bahawa kebanyakan penunggang basikal yang baru berjinak dengan aktiviti itu dilihat tidak peka dengan aspek keselamatan mereka.

“Kebanyakan penunggang yang baharu ini tidak berkayuh dengan kumpulan yang berpengalaman. Jadi mereka tak dapat pengalaman dan nasihat yang diperlukan.

“Antara kesalahan yang saya lihat biasa dilakukan adalah menggunakan laluan yang sesak, tidak peka apabila menghampiri susur keluar, susur masuk atau susur persimpangan bertingkat dan tidak memberi peluang kepada kenderaan untuk memotong,” katanya.

Khairul menasihatkan semua penunggang basikal supaya mendapatkan bimbingan keselamatan daripada mereka yang berpengalaman ataupun mempelajari tip kayuhan selamat yang banyak terdapat secara dalam talian sebelum memulakan aktiviti itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!