56 penunggang basikal maut kemalangan sejak Januari

Sebanyak 56 kes penunggang basikal maut dalam kemalangan sejak Januari hingga Oktober lalu. Gambar hiasan Bernama.
Sebanyak 56 kes penunggang basikal maut dalam kemalangan sejak Januari hingga Oktober lalu. Gambar hiasan Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 56 kes penunggang basikal maut dalam kemalangan sejak Januari hingga Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, dalam tempoh sama sebanyak 18 kes penunggang basikal cedera parah dan 63 cedera ringan akibat kemalangan.

"Statistik kemalangan penunggang basikal pada tahun lalu pula merekodkan sebanyak 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 cedera parah dan 59 cedera ringan," katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Azisman
Azisman

Azisman berkata, sejak kebelakangan ini aktiviti berbasikal menjadi trend baharu rakyat Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan mendatangkan bahaya kepada penunggang basikal serta pengguna jalan raya yang lain.

"Walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di jalan raya, saya menasihatkan penunggang basikal agar sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau menegaskan bahawa aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran perjalanan kerana kenderaan lain yang turut menggunakan laluan sama serta boleh mengundang risiko kemalangan.

"Pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan supaya bertimbang rasa dan lebih berhati-hati terhadap penunggang basikal kerana mereka amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Azisman menasihatkan individu yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa yang sesuai seperti di kawasan yang kurang kenderaan dan bukan di waktu puncak ketika pergi dan balik kerja.

"Pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal yang akan digunakan hendaklah mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk menggunakan roof rack carrier sahaja pada kenderaan untuk mengangkut basikal.

"Individu yang melakukan kesalahan semasa menunggang basikal di atas jalan raya boleh diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah - Kaedah Lalu Lintas jalan 1959," katanya.