Survival sekolah vernakular Tamil

Peredaran masa dan perubahan agenda pembangunan negara telah mengundang kepada kemerosotan survival dan jumlah sekolah vernakular Tamil. - Foto Bernama
Peredaran masa dan perubahan agenda pembangunan negara telah mengundang kepada kemerosotan survival dan jumlah sekolah vernakular Tamil. - Foto Bernama
A
A
A

KEWUJUDAN sekolah vernakular Tamil di Malaysia sejak berpuluh tahun lalu, ibarat lambang hak keistimewaan masyarakat minoriti India di negara ini.

Sekolah vernakular Tamil bermula pada zaman pramerdeka telah menyaksikan pembinaan sebanyak 888 buah sekolah itu di Malaysia.

Peredaran masa dan perubahan agenda pembangunan negara telah mengundang kepada kemerosotan survival dan jumlah sekolah vernakular Tamil. Kemerosotan itu akhirnya menyebabkan kehilangan lebih 300 buah sekolah vernakular Tamil di seluruh Malaysia yang kini hanya tinggal sebanyak 527 buah sekolah.

Namun, realiti hari ini memaparkan bahawa kedudukan dan survival 527 sekolah berkenaan turut goyah dipengaruhi pelbagai faktor, namun yang utama disebabkan kelekaan masyarakat India sendiri.

Kolum lidah pengarang akhbar harian Makkal Osai melaporkan bahawa survival sekolah vernakular Tamil tempatan berdepan dengan ancaman penutupan apabila sebilangan kecil sekolah itu kemungkinan besar terpaksa ditutup.

Pihak kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 28 buah sekolah vernakular Tamil memiliki jumlah murid kurang daripada 10 orang. Kebanyakan sekolah adalah di Perak, Selangor, Kedah, Johor dan Pahang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 27 buah sekolah memiliki status sekolah bantuan kerajaan, manakala sebuah sahaja merupakan sekolah kerajaan.

Oleh sebab 27 buah sekolah itu berstatus bantuan kerajaan dan mempunyai jumlah murid kurang daripada 10 orang, survival sekolah-sekolah berkenaan menjadi tanda tanya akibat lesen pemilikan di tangan pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

Pihak kerajaan juga mengalami kesukaran untuk melindungi sekolah-sekolah tersebut daripada ditutup dan usaha memindah ke lokasi tanah milik kerajaan.

Menurut Makkal Osai, di Malaysia ketika ini terdapat sebanyak 44 buah sekolah vernakular Tamil dengan jumlah murid bermula daripada 10 hingga 20 orang.

Ia diikuti 21 hingga 50 orang murid di 139 buah sekolah, 51 hingga 100 orang murid pula di 96 buah sekolah dan 101 sehingga 150 orang murid di 62 buah sekolah.

Makkal Osai turut menjelaskan bahawa sejak beberapa dekad lalu, penyusutan jumlah murid di sekolah vernakular Tamil berlaku disebabkan penghijrahan masyarakat minoriti India dari kawasan ladang ke bandar besar.

Sekolah vernakular Tamil yang terletak di ladang-ladang dan penempatan luar bandar terpaksa dipinggirkan kerana pekerja ladang berhijrah ke bandar demi mengubah nasib serta masa depan mereka.

Ironinya, masyarakat India yang telah berpindah ke kawasan bandar berdekatan tidak sanggup lagi menghantar anak mereka belajar di sekolah vernakular Tamil di ladang-ladang kelapa sawit mahupun getah.

Tambahan pula, telah wujud persepsi negatif dalam kalangan sebilangan masyarakat India terhadap standard sekolah vernakular Tamil dan martabat pendidikan Bahasa Tamil serta pihak pengurusan sekolah.

Sementara itu, kadar kelahiran dalam kalangan masyarakat India di Malaysia yang mencatatkan penyusutan ketara juga adalah antara punca penting kepada masalah kekurangan murid di sekolah vernakular Tamil.

Jumlah penduduk masyarakat India yang telah direkodkan ialah sebanyak 11.1 peratus pada tahun 1957 telah susut kepada 8.9 peratus pada tahun 2007 dan terkini 9.8 peratus pada tahun 2020.

Perlembagaan Perseku-tuan, undang-undang tertinggi negara telah memperuntukkan kedudukan istimewa kepada sekolah vernakular Tamil dengan menjamin pembangunan dan masa depannya.

Tanggungjawab masyarakat India adalah untuk melindungi survival hak istimewa itu dan memartabatkan kegemilangan sekolah vernakular Tamil serta pendidikan Bahasa Tamil di Malaysia.