X

Kindly register in order to view this article
!

Reset Malaysia

A
A

MALAYSIA masih lagi dalam krisis. Sekurang-kurangnya tiga bentuk krisis dapat dikenal pasti iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan politik.

Krisis kesihatan yang kita tahu iaitu pandemik Covid-19 memberi implikasi kepada negara dari sudut ekonominya yang memunculkan krisis ekonomi pula.

Lebih malang, ahli politik tidak putus-putus berantakan antara satu sama lain. Mereka bukan sahaja berseteru antara parti politik, malah secara dalaman sesebuah parti politik itu juga terzahir kemelut antara mereka juga.

Terkini, kemelut politik di Perak yang mengakibatkan Menteri Besar Perak ketika itu terpaksa meletak jawatan kerana sudah tidak memiliki kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.

Saya hanya ingin menukilkan agar semua pihak termasuklah ahli politik supaya menumpukan kepada pembangunan negara. Zahirkanlah idea bagi memantapkan ekonomi negara, meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan menegakkan keadilan.

Sebagai salah seorang pemimpin NGO, saya sering ditanya orang ramai tentang hal sedemikian. Rakyat sudah jelak dengan mainan politik pelbagai pihak.

Bukan tidak boleh berpolitik tetapi berpada-padalah agar ia tidak menghalang pembangunan negara. Saya tidak menujukan saranan ini kepada parti politik tertentu atau blok yang mana satu tetapi kepada semua yang terlibat termasuklah penyokong parti masing-masing.

Mungkin sudah sampai masanya di Malaysia, kita menekan butang reset bagi memformatkan kembali negara kita. Dengan berpolitik yang berpada, NGO yang bermaya, ilmuwan yang berwacana pasti akan dapat membantu pembangunan negara.

Banyak perkara yang kita boleh sama-sama usahakan seperti mencipta peluang pekerjaan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19, mencari formula agar harga rumah lebih mampu dibeli kalangan khalayak awam, memanfaatkan tenaga muda yang ramai tidak digunakan, perpaduan rakyat dan banyak lagi.

Peranan ahli politik yang terlalu besar menyebabkan kedudukan politik sangat-sangat didambakan pelbagai pihak. Kerakusan menjawat jawatan politik sudah menjadi rahsia terbuka kepada ramai.

Kita perlu fikirkan bagaimana ahli legislatif kita perlu menumpukan perhatian penuh kepada penggubalan undang-undang sahaja dan keperluan rakyat diambil perhatian pihak lain seperti penjawat utama awam ataupun pihak berkuasa tempatan. Dengan cara itu, penggubal undang-undang akan lebih fokus menghadiri persidangan dan berbahas dengan fakta yang benar.

Saya bukanlah menidakkan sumbangan politikus sekalian tetapi kita perlu menganjak minda dan berinovasi dengan upaya untuk membangun negara bingkas berdiri dan keluar daripada krisis kesihatan ekonomi dan politik seperti yang dinyatakan di atas.

Saya menggesa semua pihak agar dapat bergerak seiring membangunkan Malaysia. Adaptasi demokrasi ala Barat sebagaimana diamalkan kini pada pandangan saya mungkin tidak sesuai dengan watan kita ini.

Modifikasi yang sesuai perlu dilakukan menurut undang-undang agar sistem politik negara dapat dirancakkan demi pembangunan negara, bukan sekadar memegang tampuk kuasa. Demokrasi kita perlu disesuaikan dengan norma lazim tempatan supaya ia dapat dijalankan dengan megah.

Selagi kita masih bergelut dalam kancah politik seperti hari ini, selagi itulah tumpuan kepada pembangunan negara kurang diberikan perhatian. Keprihatinan pihak kerajaan juga adakalanya terhakis kerana kekhuatiran kuasa politik dirampas.

Sekali lagi saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya dapat menganjak minda dan memikirkan kaedah untuk membangun negara bebas daripada belenggu politik kepartian seperti berlaku sekarang. Inilah masanya kita berkompromi demi membangunkan negara Malaysia. Reset Malaysia perlu dilakukan segera.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!