Bina semula rumah terbakar guna wang sumbangan

Syarifah Bahariah (dua dari kanan) menerima sumbangan keperluan yang disampaikan Zamzuri di Taman Aman, Anak Bukit, Alor Setar semalam.
Syarifah Bahariah (dua dari kanan) menerima sumbangan keperluan yang disampaikan Zamzuri di Taman Aman, Anak Bukit, Alor Setar semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Mangsa kebakaran dari Kampung Alor Madi, Anak Bukit di sini akan menggunakan duit sumbangan orang ramai yang diperolehnya untuk menampung pembinaan semula rumahnya yang hangus terbakar pada 11 November lalu.

Syarifah Bahariah Syed Noh, 73, yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu kini menumpang berteduh di rumah saudaranya di Taman Aman dekat sini.

"Mak cik reda dengan kejadian tersebut. Syukur ramai yang prihatin dan membantu keluarga makcik termasuk Menteri Besar Kedah. Sumbangan wang ringgit daripada semua pihak akan digunakan untuk bina balik rumah atas tapak rumah lama kami yang terbakar itu.

"Rumah yang terbakar itu dibina hasil titik peluh arwah suami yang bekerja sebagai posmen sebelum dia meninggal dunia 10 tahun lepas. Banyak kenangan manis kami sekeluarga di rumah lama itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor semalam.

Syarifah Bahariah berkata, selain sumbangan wang, keluarganya juga turut menerima pakaian dan kelengkapan rumah daripada orang ramai yang prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

Sementara itu, Zamzuri berkata, Econsave yang sentiasa dekat dengan masyarakat turut terpanggil untuk meringankan beban enam ahli keluarga tersebut menyampaikan sumbangan barangan keperluan bernilai RM500.

Menurutnya, selain Syarifah Bahariah, sebuah lagi keluarga yang juga mangsa kebakaran turut menerima bantuan barangan keperluan bernilai RM500 daripada pihak Pasaraya Econsave.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 November lalu, Sinar Harian melaporkan dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Alor Madi, Anak Bukit, dekat sini.

Nasib yang menimpa keluarga Radzian Arshad, 51 dan Syarifah Bahariah Syed Noh, 73, turut mendapat perhatian Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menyampaikan sumbangan dari Pejabat Menteri Besar Kedah, Pejabat Exco Kebajikan Kedah dan Pas Kawasan Kuala Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Hanya mampu lihat rumah dimamah api'