'Hanya mampu lihat rumah dimamah api'

Ahli keluarga Syarifah Bahariah melihat keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Alor Madi, Anak Bukit, petang semalam. Gambar kecil: Syarifah Bahariah Syed Noh
Ahli keluarga Syarifah Bahariah melihat keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Alor Madi, Anak Bukit, petang semalam. Gambar kecil: Syarifah Bahariah Syed Noh
A
A
A

ALOR SETAR - "Api merebak terlalu cepat kerana angin kuat, saya hanya mampu melihat rumah yang dibina oleh arwah suami saya lebih 50 tahun lalu musnah dalam kebakaran semalam," kata mangsa kebakaran, Syarifah Bahariah Syed Noh, 73, ketika ditemui di Kampung Alor Madi, dekat sini hari ini.

Katanya, dia mendengar orang menjerit meminta tolong selepas selesai solat Asar di rumahnya sebelum keluar untuk melihat apa yang terjadi.

"Apabila keluar, saya lihat api di rumah jiran sudah marak sebelum merebak ke rumah saya, saya hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa.

"Saya tidak berani untuk masuk ke rumah untuk menyelamatkan barang, " katanya selepas menerima sumbangan dari Pejabat Menteri Besar Kedah yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di pekarangan rumahnya yang terbakar itu.

Radzian (kiri) menerima sumbangan yang disampaikan sendiri Muhammad Sanusi ketika turun melawat mangsa kebakaran di Kampung Alor Madi, Anak Bukit hari ini.
Radzian (kiri) menerima sumbangan yang disampaikan sendiri Muhammad Sanusi ketika turun melawat mangsa kebakaran di Kampung Alor Madi, Anak Bukit hari ini.

Syarifah Bahariah berkata, semasa kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dia tinggal seorang diri di rumah manakala anaknya keluar mengambil isteri di tempat kerja dan dua cucunya ke kedai runcit berhampiran membeli barang.

Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran, Radzian Arshad, 51 berkata, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran bermula dari rumah pusakanya.

Menurutnya, dia bergegas pulang selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya, Rosliza Yusuf, 48, dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Semasa kejadian, isteri saya di bahagian bawah rumah dua tingkat bersama tiga anak, seorang cucu dan seorang anak yang diasuh sebelum terdengar bunyi meletup di tingkat atas. Mereka terus keluar dan mendapati api sudah marak.

“Angin yang kuat menyebabkan api merebak ke rumah jiran. Terima kasih kepada menteri besar yang datang memberi sumbangan yang dapat meringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sesuai mengikut prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memulihkan semula kehidupan dua keluarga tersebut.