Gabungan besar PN, BN dan GPS tak jejas Pakatan Harapan

Hassan (tengah) menyerahkan bantuan kerusi dan meja kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Kuala Masai, Mah Tok di Balai Raya Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang, hari ini.
Hassan (tengah) menyerahkan bantuan kerusi dan meja kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Kuala Masai, Mah Tok di Balai Raya Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang, hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Cadangan membentuk gabungan besar merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, ini kerana gabungan baharu tersebut berteraskan Melayu dan Islam sahaja, tidak seperti PH yang berkongsi kuasa secara saksama bagi memastikan nasib semua rakyat terbela.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, jika negara ini mahu terus maju maka perkongsian kuasa secara adil perlu terus dipraktikkan bukan dimonopoli satu kaum sahaja yang merupakan amalan politik tidak sihat.

"PH sudah ada direksi politiknya sendiri dengan gabungan parti sedia ada yang membela nasib semua rakyat termasuk golongan minoriti supaya semua rakyat mendapat keadilan dan hak masing-masing.

"Ini berbeza dengan gabungan baharu yang mahu diwujudkan. Negara kita berbilang bangsa, tidak boleh tumpu satu kaum, ini tidak sihat," katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan bantuan kerusi dan meja di Balai Raya Kampung Orang Asli Kuala Masai di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hamzah cadang gagasan besar tiga gabungan parti

Semalam, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencadangkan gabungan politik baharu itu bertujuan mempunyai kestabilan politik yang kukuh selain mencerminkan keupayaan untuk terus mentadbir negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, tujuan penubuhan gabungan politik baharu itu perlu mempunyai matlamat yang jelas dan berpendapat Malaysia tidak memerlukan penubuhan gabungan atas gabungan politik lain.

Artikel Berkaitan:

Hassan berkata, masalah akan timbul terhadap gabungan politik baharu itu semasa PRU15 terutama melibatkan pembahagian kerusi UMNO, Pas dan Bersatu yang akan berebut kawasan sesama sendiri.

Menurutnya, ia berbeza dengan PH yang sudah setuju dengan kawasan masing-masing termasuk pembangkang tidak akan memainkan isu perkauman dan agama atau politik wang untuk menarik sokongan rakyat.

Hassan berkata, sebenarnya hasrat penubuhan gabungan politik baharu itu adalah kerana PN sedar kerajaan diterajuinya sekarang adalah sebuah kerajaan yang tidak sah kerana bukan diperoleh daripada mandat rakyat.

"Kerajaan yang ada pada hari ini tidak ada mandat rakyat. Parti yang mendapat mendapat mandat rakyat untuk memerintah adalah PH pada PRU14. PN sekarang bergabung membentuk kerajaan selepas PH dijatuhkan, jadi mereka sedar PN tidak ada mandat rakyat," katanya.

Tambah beliau, kerajaan PN tidak pernah mendapat sokongan majoriti 220 ahli Parlimen sejak dibentuk pada Mac lalu dan ini boleh dibuktikan dalam undian Belanjawan 2021 baru-baru ini yang tidak pernah memperoleh majoriti mudah iaitu 111 undi.