Warta wabak rabies belum ditarik balik

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Perintah kawasan jangkitan penyakit anjing gila atau rabies bagi Daerah Larut Matang Selama yang dikeluarkan 14 Januari lalu masih berkuat kuasa dan belum ditarik balik.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, semua pihak perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga dan orang ramai tidak dibenarkan membawa keluar anjing dari kawasan pewartaan iaitu mukim Taiping dan mukim Bukit Gantang kecuali dengan kebenaran bertulis.

Menurutnya, pada musim perayaan ini, orang ramai juga dinasihatkan tidak membawa pulang anjing ke kawasan berkenaan bagi mencegah wabak daripada menular.

"Operasi sekatan dan rondaan jalan raya oleh anggota penguat kuasa jabatan bersama polis di sempadan kawasan pewartaan sedang giat dijalankan.

"Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan memindah keluar anjing tanpa kebenaran boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan-2006) dan (Pindaan) 2013 (Akta A 1452)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Ahmad Shafri berkata, sehingga hari ini, 4,262 anjing bertuan yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan wabak diberi suntikan vaksinasi rabies.

"Tiada kes baru dikesan berlaku dan keadaan wabak di Mukim Taiping masih terkawal dengan kes positif melibatkan jangkitan rabies ke atas anjing liar kekal kepada hanya empat kes seperti dilaporkan sebelum ini.

"Persampelan ke atas anjing liar di kawasan bersempadanan meliputi Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta menunjukkan tiada tanda-tanda penularan wabak ke daerah berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejak operasi kawalan penyakit rabies dijalankan, sebanyak 5,419 anjing dan 958 kucing dipantau dan dibuat pemeriksaan jangkitan manakala 20,943 orang awam diberi pendedahan dalam program kesedaran tentang bahayanya penyakit dan cara tangani sekiranya diserang atau menjadi mangsa gigitan anjing.