FAM, MSN jalin kerjasama tubuh Skuad Projek FAM-MSN

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerima jersi baharu Malaysia sebagai penghargaan dari Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media mengenai FAM dan MSN bentuk skuad projek khas di Wisma FAM hari ini. - Foto Bernama
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerima jersi baharu Malaysia sebagai penghargaan dari Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media mengenai FAM dan MSN bentuk skuad projek khas di Wisma FAM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengumumkan kerjasama untuk menubuhkan Skuad Projek FAM-MSN yang akan bersaing dalam Liga Premier bermula musim hadapan.

Ia sebagai usaha FAM dan MSN mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Skuad Projek FAM-MSN yang menjadi pasukan ke-11 beraksi dalam saingan Liga Premier musim hadapan akan dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah dengan misi memberi pendedahan kepada barisan pemain untuk saingan kompetitif.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, laluan kerjaya pemain penting dalam ekosistem pembangunan bola sepak negara.

“Pemain yang berpotensi sudah tentu dikenal pasti lebih awal oleh pasukan-pasukan dalam saingan liga tempatan, tetapi bagi kelompok yang lambat matang, mereka akan mempunyai peluang kedua memastikan mereka terpilih menyertai skuad projek ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

“Secara tidak langsung, program ini menjadi platform kesinambungan kepada pembangunan pemain memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja kebangsaan,” tambah beliau.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pula berkat kerjasama itu menghidupkan semula persekitaran yang membawa penghasilan generasi pemain yang membantu skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011, serta Piala AFF 2010 selain mengisi kelompongan untuk lepasan PPBN dalam struktur sedia ada.

“Selain melepaskan produk terbaik PPBN dalam pasaran liga sedia ada, FAM mengambil kira hakikat ada pemain berbakat yang mahu mengimbangi kerjaya dengan tuntutan akademik, maka tawaran biasiswa yang disediakan dianggap sebagai nilai tambah untuk skuad ini,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden, Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah PPBN akan membentuk skuad perintis tersebut bermula Januari tahun hadapan.

Pemain terpilih akan menjalani latihan pusat rasmi di MSN, diberikan elaun dan tempat penginapan serta makanan.

Selain itu, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara, pendedahan antarabangsa dan peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih merupakan pakej menanti barisan pemain.

Dalam pada itu, penyertaan Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier telah diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

FAM serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui MSN turut membentuk jawatankuasa pengurusan pasukan yang dipengerusikan Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub selaku pengurus pasukan. - Bernama