Perspektif anjur pertandingan menterjemah cerpen Mahua

Piala Drs Chin Yook Chan anjuran Perspektif telah mendapat sokongan daripada penganjur KLWBC2020 dengan kerjasama UniTI dan HAN.
Piala Drs Chin Yook Chan anjuran Perspektif telah mendapat sokongan daripada penganjur KLWBC2020 dengan kerjasama UniTI dan HAN.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) akan menganjurkan pertandingan menterjemah cerpen Mahua peringkat kebangsaan yang dinamakan Piala Drs Chin Yook Chin.

Cerpen Mahua merupakan karya sastera berbentuk cerita pendek yang dibuat dalam bahasa Cina.

Presiden Perspektif, Datuk Goh Hin San berkata, pertandingan tersebut turut melibatkan sokongan daripada penganjur Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020).

Menurutnya, Piala Drs Chin Yook Chin itu dilaksanakan dengan kerjasama daripada Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia.

“Pertandingan ini merupakan kali kedua dianjurkan setelah kali pertama diadakan pada tahun 2010.

“Sebanyak 20 buah cerpen Mahua dipilih sebagai bahan pertandingan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Drs Chin Yook Chin merupakan bekas Presiden Perspektif yang berjasa dalam mendidik sekumpulan penterjemah dan melahirkan ramai tenaga pengajar bahasa Melayu yang menjadi guru di Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh Malaysia.

Beliau yang pernah menjadi pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Foon Yew yang sekarang dinaik taraf sebagai Universiti Kolej Selatan di Johor Bahru turut giat melibatkan diri dalam dunia penterjemahan Cina-Melayu demi menggalakkan interaksi pelbagai etnik.

Artikel Berkaitan:

Hin San berkata, sebanyak 20 buah karya terjemahan akan dipilih sebagai pemenang yang terdiri daripada tiga kategori berserta dengan hadiah berbentuk wang tunai.

“Kategorinya ialah sebanyak tiga hadiah bagi Terjemahan Cemerlang dengan hadiah sebanyak RM1,000 seorang, lima hadiah Terjemahan Baik (RM300 seorang) dan 12 hadiah Terjemahan Terpilih (RM100 seorang),” katanya.

Pada masa sama, Hon Sin memaklumkan pertandingan tersebut terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan peserta perlu mendaftarkan diri melalui http://bit.ly/DaftarPMPDCYC.

Menurutnya, peserta pertandingan boleh memuat naik hasil terjemahan melalui http://bit.ly/HantarPMPDCYC sebelum 1 Mac 2021, manakala syarat pertandingan dan teks sumber boleh dimuat turun melalui http://bit.ly/PMPDCYC.

Katanya, peserta pertandingan cerpen itu dibenarkan untuk menghantar lebih daripada satu karya terjemahan.

Persatuan penulis Perspektif yang ditubuhkan sejak tahun 1986 akan menyambut ulang tahun penubuhan persatuan ke-35 pada tahun 2021.