X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Pendirian Dong Zong berhubung isu tulisan jawi konsisten

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menegaskan bahawa pendirian mereka mengenai isu tulisan jawi tidak pernah berubah.

Dong Zong berkata, terdapat penggunaan perkataan yang kurang tepat dalam laporan Sinar Harian semalam telah mengakibatkan kekeliruan dan masyarakat diharapkan dapat memahaminya dengan teliti.

"Sebenarnya artikel Sinar Harian tersebut amat menyeluruh dan tepat, kecuali hanya wujudnya penggunaan perkataan yang kurang tepat dalam perenggan pertama laporan tersebut, dan mengakibatkan kekeliruan atau salah tafsir sesetengah pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

"Pendirian Dong Zong mengenai isu tulisan jawi tidak pernah berubah malah kami berharap masyarakat awam dapat mengikuti dan memahami pendirian kami dengan teliti.

"Isi kandungan temu ramah Encik Tan Tai Kim dalam Sinar Harian adalah berdasarkan dan sejajar dengan kenyataan bersama Dong Jiao Zong (DJZ) sebelum ini iaitu DJZ tidak bersetuju dengan cara pengajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan tidak pernah membantah sebarang tulisan mana-mana kaum termasuk tulisan jawi, tetapi ia harus berlandaskan konsep kepelbagaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlu ikut prinsip kepelbagaian budaya, kata Dong Zong

Tambah Dong Zong, Kementerian Pendidikan Malaysia disaran merujuk kepada unit tulisan kaligrafi berbilang kaum dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 yang dilaksanakan sejak tahun 2015.

Ini kerana katanya, unit tersebut dianggap bersesuaian dengan keadaan kepelbagaian negara.

"Pendirian tersebut juga selaras dengan kenyataan bersama yang dibuat oleh DJZ serta wakil masyarakat Cina dan India pada 15 Januari 2020 selepas perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika itu.

"Kami ingin menegaskan bahawa tidak kira sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN), pendirian DJZ terhadap tulisan jawi adalah konsisten," katanya.

Pada masa sama Dong Zong turut mengalu-alukan cadangan dan nasihat daripada pelbagai pihak sebagai rujukan pada masa hadapan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!