Melaka bentang belanjawan RM445.86 juta

Sulaiman pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Melaka 2021 dalam Sidang DUN Melaka di Ayer Keroh hari ini.
Sulaiman pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Melaka 2021 dalam Sidang DUN Melaka di Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka hari ini membentangkan Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan sebanyak RM445.96 juta yang mencatatkan lebihan kali ke-17 berturut-turut sejak tahun 2005.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, Belanjawan 2021 bertemakan 'Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagiakan Rakyat, Menggamit Dunia' merupakan belanjawan surplus dengan mencatatkan peningkatan sebanyak RM55.96 juta atau 14.32 peratus berbanding RM390.22 juta pada tahun 2020.

Menurutnya, sebanyak RM75 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM5 juta berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM53.74 juta merupakan sumber perbelanjaan hasil negeri sendiri, manakala sebanyak RM21.26 juta pula merupakan pemberian Geran Tahap oleh kerajaan Persekutuan.

"Belanjawan itu merangkumi perbelanjaan bekalan RM436.38 juta atau 98 peratus daripada belanja keseluruhan iaitu RM177.54 juta untuk perkhidmatan dan bekalan.

"Selain itu, sebanyak RM142.20 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM111.87 juta emolumen, RM3.97 juta bagi aset dan RM0.59 juta bagi perbelanjaan lain," katanya ketika membentangkan Belanjawan Melaka 2021 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Sulaiman ketika membentangkan Belanjawan Melaka 2021 pada Sidang DUN Melaka di Ayer Keroh hari ini.
Sulaiman ketika membentangkan Belanjawan Melaka 2021 pada Sidang DUN Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Sulaiman berkata, kutipan hasil tahun 2021 dijangka akan diperolehi sebanyak RM155.79 juta, manakala hasil bukan cukai pula dianggarkan berjumlah RM272.28 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak RM17.89 juta lagi merupakan terimaan bukan hasil daripada pemberian kerajaan Persekutuan dan bayaran balik pinjaman agensi-agensi kerajaan negeri.

"Malah kerajaan negeri juga berjaya mengurangkan jumlah hutang kira-kira RM178.39 juta kepada kerajaan Persekutuan iaitu pengurangan sebanyak 21.71 peratus daripada RM821.63 juta pada tahun 2019 kepada RM643.24 juta pada tahun ini," katanya.

Ketika membentangkan belanjawan itu, Sulaiman berkata, ia berpaksikan kepada lima prinsip TERAS iaitu dengan penekanan Teknologi, 'Entrepreneurship', Revolusi Industri dan Ekonomi, serta Antarabangsa dan Sejahtera.

"Bagi merealisasikan prinsip tersebut, sebanyak 12 strategi telah direncanakan untuk menjadikan Melaka sebuah negeri lebih berdaya maju dalam merancak pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19," katanya.