Kadar pengangguran di Melaka meningkat

 Ismail Othman
Ismail Othman
A
A
A

MELAKA - Kadar pengangguran di Melaka terus menunjukkan peningkatan sebanyak 9,700 orang berbanding 5,500 yang direkodkan pada suku tahunan pertama tahun ini.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Othman berkata, peningkatan sebanyak 2.2 peratus itu direkodkan pada suku tahunan kedua ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, sekitar 1.1 peratus dengan bilangan seramai 4,600 direkodkan sebelum kadar pengangguran menunjukkan peningkatan.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 1,000 mahasiswa turut terlibat dalam pengangguran tidak ditawarkan sebarang pekerjaan.

"Bagi menyelesaikan masalah pengangguran, pelbagai program ditambah baik dalam bidang kemahiran termasuk menyediakan kursus-kursus di kolej negeri, kolej komuniti dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) untuk golongan itu," katanya.

Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (Amanah-Bukit Katil) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14 di Seri Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail (BN-Kuala Linggi) berkata,Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak terkecuali mengambil inisiatif dengan menaja 40 anak Melaka dengan kos RM25,000 seorang bagi mengikuti kursus di Institut Latihan TNB Sultan Haji Ahmad Shah selama enam bulan.

Malah menurutnya, penganjuran Karnival Penjana Kerjaya Perkeso di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada Ogos lalu turut memberi peluang rakyat terutama penganggur mencari peluang kerjaya.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan penganjuran program itu, hasilnya kerajaan negeri berjaya membantu 1,073 orang mendapatkan pekerjaan, manakala 812 lagi sedang menunggu panggilan temuduga," katanya.