Tiada PKPD di Genting Highlands

Tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Genting Highlands. Gambar kecil: Salehuddin Ishak
Tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Genting Highlands. Gambar kecil: Salehuddin Ishak
A
A
A

BENTONG - Tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Genting Highlands berikutan beberapa penempatan di kawasan peranginan terkenal itu menunjukkan peningkatan kes positif Covid-19.

Setakat jam 12 tengahari semalam (8 Disember), Pahang mencatatkan 33 kes baharu dan 31 kes adalah daripada Kluster Jalan Genting di Genting Highlands.

Dua lagi kes di Mukim Bentong melibatkan hasil saringan Orang Kena Tahan dan individu bergejala dikategorikan sebagai jangkitan tempatan menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif di negeri itu meningkat kepada 61 kes.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak berkata, rakyat di negeri ini tidak perlu gusar berikutan tular gambar anggota tentera memasang pagar kawat berduri di beberapa lokasi di kawasan peranginan tersebut di laman sosial Facebook semalam.

Menurutnya, tiga lokasi dikenal pasti antaranya dua di kawasan apartmen iaitu di Amber Court dan Ria.

"Penduduk dan pengunjung tidak perlu bimbang kerana kawasan tersebut membabitkan penempatan buruh asing dan jangkitan membabitkan golongan terbabit.

"Pemasangan pagar tersebut sejak beberapa hari lalu untuk menghalang sebarang aktiviti keluar masuk di kawasan terlibat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tegasnya, pemasangan pagar tersebut untuk melindungi rakyat tempatan.

Artikel Berkaitan: