Tarikan baharu taman tema King's Park Genting Highlands

Chen (lima dari kanan) bagi perasmian pembukaan galeri King's Park Genting Highlands.
Chen (lima dari kanan) bagi perasmian pembukaan galeri King's Park Genting Highlands.
A
A
A

KING'S Park Genting Highlands bakal menjadi tarikan terbaharu dengan menampilkan taman tema berasaskan alam semula jadi dan terarium terbesar di Malaysia.

Naib Presiden Eksekutif King’s Park Development Sdn Bhd, Sean Chen berkata, taman tema itu lebih menumpukan alam semula jadi berbanding Taman Tema Genting SkyWorlds yang fokus kepada dalam bangunan dan studio.

"Bakal dibangunkan dalam fasa pertama daripada keseluruhan lima fasa pembangunan King’s Park yang juga daerah pusat perniagaan (CBD) pertama di Genting Highlands.

"Taman tema itu bakal menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung kerana terletak di dalam hutan Pahang selain menawarkan banyak aktiviti dan tarikan 'outdoor' (luar bangunan), seperti sukan eko, denai berbasikal gunung, kami juga akan mewujudkan taman tema berasaskan alam semula jadi.

"Pembukaan projek taman tema berkeluasan 200,000 kaki persegi itu akan diberitahu pada penggal keempat tahun ini," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pembukaan Galeri King's Park, Genting Highlands pada Sabtu.

Tambah Chen, projek tersebut juga bakal menampilkan terarium terbesar di Malaysia yang berukuran lebih 600 meter panjang yang mana pelawat boleh berjalan di laluan tepi sungai untuk ketenangan yang terbaik.

Ujarnya, King's park akan mengambil masa kira-kira lapan hingga 10 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Menurut beliau, projek pembangunan mega dengan kerjasama Yuk Tung Group dan Persatuan Promosi Pendidikan Tinggi di Malaysia (APHEM) itu membabitkan lebih 61 hektar tanah pegangan bebas, terdiri daripada kombinasi unik tawaran komersial, kediaman dan rekreasi bersepadu.

Jelasnya, fasa pertama pembangunan komponen komersial dan unit runcit dijadualkan dibuka pada 2026.

"Ia termasuk pembangunan kediaman mewah berdekatan Awana Golf Resort dan Genting Highlands Premium Outlets.

"Selain itu, bagi menyerlahkan statusnya sebagai hab hiburan bersepadu, 'Truly Asia Cultural Streets' seluas 18,680 meter persegi turut ditawarkan di King’s Park bagi memberikan pengunjung pengalaman pelancongan di bandar terkenal Asia seperti Myeongdong Seoul, Ebisubashi-Suji Osaka dan Jalan Khao San Bangkok," katanya.

Katanya lagi, projek pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion itu juga bakal mewujudkan hab runcit halal dan hotel butik mewah yang mematuhi syariah bagi memenuhi keperluan pelanggan Muslim.

"Ia sekali gus memanfaatkan pasaran yang semakin berkembang untuk pengembaraan halal antarabangsa.

"Pembangunan itu juga turut merangkumi pembinaan beberapa hotel bertaraf lima bintang, termasuk Swissôtel Genting Highlands bertaraf dunia yang dijadualkan dibuka pada 2028," ujarnya.