20 ekor lembu dibaham harimau

DUNGUN - Seramai 30 penternak lembu di Felda Kerteh 4, di sini tidak dapat tidur lena apabila kira-kira 20 ekor haiwan ternakan mereka dibaham harimau sepanjang tahun ini melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000.
Pengurus Felda Kerteh 4, Mohd Azimi Hassan berkata, serangan terbaharu dilaporkan berlaku pada dua minggu lepas dan dalam tempoh tersebut enam ekor lembu milik dua penternak mati dibaham pak belang.
“Kehadiran harimau di sini sudah dikesan lama sejak 2018 lagi. Saya anggarkan ada empat hingga lima ekor harimau berkeliaran di lokasi berbeza dan mereka jadikan lembu penternak sebagai sasaran.
“Tahun ini saja 20 ekor lembu mati akibat dibaham dan serangan terbaharu dikesan pada 24 November lalu. Dalam tempoh seminggu itu, tiga ekor lembu milik seorang penternak turut dibaham.