X

Kindly register in order to view this article
!

'Lihat kelemahan sebagai kekuatan'

MOHD ADLI YAHYA
A
A

SHAH ALAM - Melihat kepada masalah dan kekurangan yang dihadapi anaknya, Luqman Shariff, 21, memberi ilham kepada Mohd Adli Yahya untuk merencanakan program dikenali sebagai Autism Cafe Project.

Berperanan sebagai pemilik The Autism Cafe Project, Mohd Adli berkata, idea untuk mewujudkan kafe ini tercetus selepas melihat kesukaran anaknya untuk mendapat pekerjaan di luar sana.

"Luqman Shariff dikategorikan sebagai pasif jadi peluang dia untuk membina kerjaya di luar sana agak sukar. Kerana itu, saya set up kafe ini untuk anak saya.

"Apabila melihat projek ini berkembang saya mula mengambil anak-anak autisme yang lain untuk bersama kami," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk OKU: Kerjaya & Potensi surah al-Isra ayat 70 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf, di sini semalam.

Turut menjadi panelis ialah Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah (WUIF), Ustaz Safri Muhammad Zein.

Wacana Al-Quran yang diadakan di Karangkraf yang membincangkan tajuk OKU: Kerjaya & Potensi, dari kiri, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Pemilik The Autism Cafe Project, Mohd Adli Yahya, Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah, Ustaz Safri Muhammad Zein dan Qari Rancangan My #Quran Time TV AlHijrah, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Wacana Al-Quran yang diadakan di Karangkraf yang membincangkan tajuk OKU: Kerjaya & Potensi, dari kiri, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Pemilik The Autism Cafe Project, Mohd Adli Yahya, Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah, Ustaz Safri Muhammad Zein dan Qari Rancangan My #Quran Time TV AlHijrah, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator manakala qari jemputan, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman memperdengarkan bacaan surah al-Isra ayat 70 hingga 72.

Mohd Adli berkata, projek yang sudah berjalan hampir empat tahun itu adalah sebagai satu usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak golongan orang kurang upaya (OKU).

"Kami buka kafe dan ambil anak-anak autisme sebagai kakitangan. Contohnya, dia akan masak di rumah dengan bantuan ibu bapanya dan hantar ke kafe dan dia akan jual.

"Kami develop jadi staf dan jadi peniaga. Kami tidak bayar gaji kepada mereka tapi kami beli daripada mereka. Kalau dapat gaji sikit, tapi kalau berniaga lagi banyak mereka boleh dapat.

"Saya melihat mereka sangat bersemangat. Apabila pasaran pekerjaan di luar sana tidak mengambil mereka sebagai pekerja, mereka akan berasa rendah diri dan apabila kita ambil mereka dan layan dengan sepatutnya maka mereka semakin perform.

"Alhamdulillah, daripada yang tidak ada pendapatan sekarang sudah mempunyai pendapatan sendiri," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Adli menyifatkan apa yang beliau lakukan hari ini adalah hikmah daripada ALLAH SWT kepadanya.

"Inilah hikmah ALLAH SWT kurniakan anak istimewa kepada saya. Kalau tidak, saya tidak buat semua ini. Setiap anak-anak istimewa ini ada kelebihan masing-masing.

"Saya perhatikan anak saya, Luqman Shariff. Dia jenis yang sabar dan menurut kata. Pada saya itu kelebihan. Macam mana saya nak olah kelebihan biar bagi manfaat kepadanya. Jadi saya tugaskan dia basuh pinggan dan dia mampu selesaikan dengan sabar walaupun pinggan itu banyak.

"Dulu saya tidak nampak. Tapi ALLAH SWT bagi saya nampak sekarang. Dahulu saya tengok orang dengan potensi tapi sekarang saya tengok kelemahan seseorang kerana itu adalah kekuatannya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!