UNI-MLC gesa KWSP permudah proses i-Sinar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memudahkan proses pengeluaran dan memberi jaminan bahawa setiap permohonan akan diselesaikan dalam masa 14 hari.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, dari segi pengurusan pengeluaran wang simpanan itu, ia tidak seharusnya dikenakan syarat-syarat yang terlalu 'rigid' dan tidak munasabah.

Menurutnya, pihaknya banyak menerima aduan dan rungutan daripada pencarum KWSP yang melahirkan perasaan tidak puas hati di atas tindak-tanduk KWSP yang menyulitkan pengeluaran i-Sinar.

“Jika pihak pengurusan KWSP tidak mampu berhadapan dengan keadaan pada masa kini, mereka seharusnya memudahkan proses pengeluaran simpanan melibatkan jumlah yang ramai dan bukannya mengenakan syarat serta prosedur yang rumit.

“Adalah lebih baik jika mereka berundur secara terhormat supaya tidak merumitkan dan membebankan para pencarum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, semua pegawai dan kakitangan di KWSP merupakan barisan yang telah terlatih dan mempunyai data-data yang canggih untuk menguruskan pengeluaran wang.

“Jika sistem ini berjalan dengan secara profesional, pihak kami berpandangan bahawa tempoh maksimum yang diperlukan untuk meluluskan permohonan pengeluaran adalah 14 hari, bukan memakan masa dua atau tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Shafie berkata, pihaknya juga mahu ahli-ahli Parlimen yang membahas dan meluluskan pengeluaran caruman ketika pandemik Covid-19 mengambil tindakan ke atas pengurusan tersebut kerana tidak mematuhi dan menghormati keputusan Parlimen pada 26 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semasa penggulungan ucapan Belanjawan 2021 di Parlimen, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa kira-kira lapan juta ahli KWSP iaitu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 boleh mengeluarkan wang simpanan mereka.

“Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan tahun ini, ahli berkenaan layak memohon untuk membuat pengeluaran daripada akaun satu.

“Kenyataan Menteri Kewangan disambut baik bukan sahaja di Parlimen, malah para pencarum,” ujarnya.

Namun, kenyataan terbaharu KWSP menyatakan bahawa i-Sinar tidak bersyarat dan apa yang dicirikan adalah kriteria untuk memastikan permohonan selari dengan data sedia ada yang membolehkan proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah serta selamat.

Tegas beliau, keputusan yang dicapai di Parlimen mempunyai semangat yang berlainan dan selepas kelulusan tersebut, KWSP pula mempunyai semangat yang berlainan serta bertentangan dengan jaminan yang diberikan oleh Menteri Kewangan di Parlimen.

“Sekiranya Tengku Zafrul telah berbincang dengan KWSP sebelum pembentangan di Parlimen, sudah tentu kedua-dua Kementerian Kewangan dan KWSP mempunyai satu nada, satu suara dan satu hala tuju dalam perkara ini.

“Akan tetapi pada hari ini kita melihat seolah-olah pengurusan KWSP cuba ‘overule’ keputusan yang telah diumumkan di Parlimen yang merupakan institusi mulia dan dihormati oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Shafie berkata, pencarum hari ini bukanlah semudah itu yang boleh diperbodohkan, sebaliknya mereka juga lebih pintar dan peka dengan apa yang diputuskan di Parlimen.

“Jangan jadikan pencarum seperti peminta sedekah ke atas duit mereka sendiri yang disimpan di dalam KWSP.

“Sepatutnya KWSP membantu dan memudahkan para pencarum dalam mengeluarkan simpanan mereka ketika berhadapan dengan situasi sukar akibat Covid-19 ini,” katanya lagi.