Kejora tumpu rancakkan sektor pelancongan

Che Zakaria (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan baucar tunai Covid-19 Wilayah Kejora di Bangunan Kejora, Jalan Dato Haji Hassan Yunus, Bandar Penawar semalam.
Che Zakaria (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan baucar tunai Covid-19 Wilayah Kejora di Bangunan Kejora, Jalan Dato Haji Hassan Yunus, Bandar Penawar semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) bersedia menggerakkan pelbagai usaha bagi merancakkan sektor pelancongan di wilayah Johor Tenggara dengan penekanan norma baharu tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, program yang akan diadakan kelak bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

CHE ZAKARIA
CHE ZAKARIA

Menurutnya, Kejora bersedia merancakkan pertumbuhan ekonomi pelancongan di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada tahun depan.

“Menjelang tahun 2021, Kejora sedang merangka pelbagai agenda dengan pelancongan inap desa menjadi aspek utama.

“Bagaimanapun, program yang dirancangkan perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk mengecilkan jumlah peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan baucar tunai Covid-19 Wilayah Kejora di Bangunan Kejora, Jalan Dato Haji Hassan Yunus, Bandar Penawar di sini semalam.

Hadir sama Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad dan Pengurus Besar Kejora, A Jalil Md Arsad.

Artikel Berkaitan:

Menerusi sumbangan itu, seramai 1,770 penerima melibatkan ketua isi rumah miskin, miskin tegar dan golongan B40 di tujuh di kawasan wilayah Kejora menerima baucar tunai RM200.

Peruntukan keseluruhan berjumlah RM354,000 itu melibatkan peruntukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kejora di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Penawar, Tanjung Surat, Panti, Sedili, Johor Lama, Kahang dan Layang-Layang.

Dalam pada itu, Che Zakaria berkata, apabila kerajaan mengumumkan PKP bermula pada 18 Mac lalu, ramai rakyat terkesan terutama dari segi ekonomi dan sosial.

“Dalam usaha menolong kerajaan dalam membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19, Kejora mengambil inisiatif untuk melaksanakan sumbangan baucar tunai Covid-19.

“Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh golongan ketua isi rumah miskin dan miskin tegar serta golongan B40 di wilayah Kejora,” katanya.

Jelasnya, Kejora telah melantik Pasaraya Econsave sebagai pasar raya yang menyediakan keperluan asas harian kepada penerima ketua isu rumah miskin dan miskin tegar serta golongan B40.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Kejora juga turut menyalurkan sumbangan sanitasi awam Covid-19 berjumlah RM5,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di wilayah Kejora.

“Seterusnya sumbangan bakul prihatin Aidilfitri melibatkan 800 orang ketua isu rumah miskin dan miskin tegar termasuk anak yatim wilayah Kejora menerima wang tunai RM200 serta bakul kuih.

“Sumbangan promosi kempen Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi berjumlah RM20,000 dan sumbangan PPE Covid-19 kepada 114 buah sekolah wilayah Kejora berjumlah RM126,670,” katanya.

Justeru beliau berharap sumbangan baucar tunai Covid-19 ini dapat meringankan beban untuk seisi rumah bagi keluarga yang terjejas dengan pandemik ini.

Sementara itu, Wakil Pejabat Daerah Kota Tinggi, Md Faizul Md Fadzil, 42, berkata, bantuan disalurkan Kejora sangat diperlukan rakyat lebih-lebih lagi yang terkesan dengan Covid-19.

"Ramai yang kehilangan kerja dan hilang pendapatan disebabkan Covid-19. Diharapkan sumbangan seumpama ini dapatkan diteruskan bagi membantu lebih ramai rakyat yang terkesan dan meringankan beban mereka," katanya.

Wakil Pejabat Daerah Kluang, Abdul Razif Abd Rahman, 29, pula berkata, Kejora banyak membantu penduduk di daerah Kluang terutama ketika Covid-19.

"Bantuan dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk yang terjejas sekali gus memberikan mereka senyuman," katanya.