Seludup syabu guna tong minyak

Ayob Khan (tengah) menunjukkan syabu yang cuba dihantar ke negara jiran dengan menyembunyikannya ke dalam tong minyak.
Ayob Khan (tengah) menunjukkan syabu yang cuba dihantar ke negara jiran dengan menyembunyikannya ke dalam tong minyak.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Tindakan tiga lelaki menyeludup 31.25 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta dengan menggunakan tong minyak ke negara Indonesia gagal apabila mereka ditahan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada Ahad dan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia berumur antara 33 hingga 46 tahun itu ditahan menerusi empat serbuan dijalankan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor Bahru dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki dipercayai sebagai penghantar atau runner yang sedang menunggu bot di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi seterusnya membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek di Bandar Penawar, Kota Tinggi.

"Modus operandi kegiatan penyeludupan dadah ini adalah dengan menyembunyikan syabu di dalam tong minyak bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kemungkinan sindiket penyeludupan ini ada kaitan dengan kumpulan sindiket lain di Johor, sepatutnya bekalan dadah dihantar pada Mac lalu tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) perairan dikawal ketat menyebabkan mereka tidak dapat hantar bekalan.

"Bekalan syabu ini dipercayai diperoleh dari utara semenanjung," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Tong minyak yang digunakan untuk menyembunyikan syabu oleh sindiket penyeludupan sebelum dihantar ke negara jiran.
Tong minyak yang digunakan untuk menyembunyikan syabu oleh sindiket penyeludupan sebelum dihantar ke negara jiran.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis turut merampas sebuah kereta Honda Civic yang digunakan suspek dalam kegiatan penyeludupan ini.

Artikel Berkaitan:

"Hasil saringan ujian air kencing, dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine manakala semakan rekod mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 13 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan bermula Januari hingga 6 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ( JSNJ Johor) berjaya membuat tangkapan seramai 18, 133 orang atas pelbagai kesalahan dan dalam tempoh masa yang sama telah berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.68 tan.

Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM 31.07 juta dan nilai harta yang turut dirampas sebanyak RM 13.56 juta.