Misteri ketukan pintu di Negeri Sembilan adalah palsu

Tular yang tersebar di laman sosial dan kumpulan WhatsApp malam tadi.
Tular yang tersebar di laman sosial dan kumpulan WhatsApp malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Misteri bunyi ketukan pintu yang bermula di Sabak Bernam kononnya sudah merebak di 25 taman di negeri ini adalah palsu.

Semalam tular di media sosial facebook dan aplikasi WhatsApp bahawa gangguan ketukan misteri itu mula berlaku di beberapa taman sekitar Ampangan, Taman Tasik Jaya, Paroi, Panchor dan Sikamat manakala 25 kediaman di Taman Tasik Jaya juga didakwa telah membuat aduan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan berkenaan.

Pengerusi KRT Taman Tasik Jaya, Abu Hassan Osman berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Katanya, penduduk di sekitar Taman Tasik Jaya tidak perlu bimbang kerana maklumat yang tular itu adalah tidak benar.

"Saya telah membuat pemeriksaan, memantau dan bertanya kepada semua penduduk di taman ini mengenai perkara tersebut, namun tidak ada yang kena kacau.

"Tiada pun orang ketuk pintu, misteri ketukan pintu tidak berlaku di taman ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengada-adakan cerita," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Abu Hassan berkata, maklumat berhubung perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak polis namun tiada laporan polis dibuat.

Begitupun katanya, penduduk di sekitar taman tersebut dinasihatkan supaya berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun ini adalah sekadar maklumat palsu yang ditularkan dan diada-adakan, namun kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa mengunci pintu rumah dan tingkap dengan kemas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"Semalam saya dan beberapa penduduk KRT ada membuat rondaan tetapi tiada ada pun yang berlaku, namun dakwaan berhubung misteri ketukan pintu itu tidak pernah pun berlaku di sini,"katanya.

Terdahulu, media melaporkan penduduk daerah Sabak Bernam dilanda tanda-tanya dan ketakutan susulan gangguan ketukan pintu misteri yang berlaku sejak 18 November lalu.

Bunyi ketukan misteri itu kemudiannya 'merebak' di Port Dickson dan Alor Gajah Melaka dua hari lalu.