Wanita Indonesia seludup barang ke Tawau ditahan

Bot jongkong sarat dengan muatan pelbagai barang keperluan harian dirampas di kawasan perairan muara Sungai Tawau Lama, Batu 3, Tawau.
Bot jongkong sarat dengan muatan pelbagai barang keperluan harian dirampas di kawasan perairan muara Sungai Tawau Lama, Batu 3, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Tindakan berani seorang wanita cuba menyeludup pelbagai barang keperluan harian dari Indonesia ke Tawau membawa padah apabila ditahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di perairan muara Sungai Tawau Lama, Batu 3 di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, pemegang pasport Indonesia yang berusia 43 tahun itu didapati menaiki sebuah bot jongkong dan masuk ke daerah ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

Antara barang yang cuba diseludup adalah 20 kotak gula merah Indonesia, satu kotak periuk kukus, 12 kawah, enam kotak kuali aluminium, dua karung batang dan penyapu, satu karung kain, sembilan karung beras pulut hitam, empat karung keju, lapan karung serbuk kuku, dua karung sambal, lapan karung serbuk minuman, tiga karung kertas tembakau dan 14 karung perasa masakan.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, rampasan dan tangkapan dibuat ketika sepasukan anggota pasukan keselamatan yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai oleh seorang anggota ESSCom melakukan rondaan Ops Cegah Pati (OCP) daratan.

Katanya, hasil daripada maklumat suspek bersama seorang juragan dipercayai dalam perjalanan dari negara jiran menuju ke perairan Tawau dengan menaiki sebuah bot jongkong.

"Sebaik tiba di lokasi, bot jongkong terbabit dilihat sarat dengan pelbagai muatan barangan disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini.

Anggota ESSCom bersama pasukan keselamatan lain menunjukkan barangan yang cuba diseludup dari Indonesia ke Tawau.
Anggota ESSCom bersama pasukan keselamatan lain menunjukkan barangan yang cuba diseludup dari Indonesia ke Tawau.

"Pemeriksaan terhadap bot itu terdapat seorang wanita manakala juragan bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum pemeriksaan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fuad berkata, pemeriksaan lanjut terhadap wanita itu membawa kepada pendedahan bahawa semua barang yang dibawa masuk tidak mempunyai permit atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM40,000 dan semua barangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Terdahulu, Ahmad Fuad menyeru kepada penduduk setempat khususnya komuniti pesisir pantai supaya sentiasa memberi kerjasama termasuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan dengan melaporkan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan masing-masing.

"Ini termasuk aktiviti penyeludupan, kes curi dan rompak serta kes kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya.