KWSP wajar semak semula syarat i-Sinar

No Image Caption
A
A
A

KETERUJAAN rakyat apabila kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Sinar bagi membantu golongan yang terjejas akibat wabak Covid-19 ternyata tidak lama.

Kegembiraan itu bertukar menjadi kecewa apabila KWSP mengeluarkan syarat dan kriteria baharu minggu lalu yang didakwa menyusahkan serta menyulitkan pengeluaran.

Bagi KWSP, kriteria dan mekanisme itu ditetapkan selepas mempertimbangkan keutamaan keperluan harian dalam menghadapi cabaran Covid-19 serta mengimbangi mandat KWSP untuk melindungi simpanan ahli untuk persaraan mereka pada masa hadapan.

Namun bagi pencarum, dua kriteria yang diumumkan KWSP itu tidak selari dan bertentangan dengan apa yang disebutkan dalam penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 26 November lalu.

Semasa penggulungan ucapan belanjawan itu, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa kira-kira 8 juta ahli KWSP iaitu mereka yang kesan dengan pandemik Covid-19 boleh mengeluarkan wang simpanan, tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan atau pendapatan berkurangan tahun ini, layak memohon pengeluaran daripada akuan satu.

Kenyataan dan jaminan yang diberikan oleh Menteri Kewangan itu disambut baik oleh pencarum dan meletakkan harapan agar kerajaan mempermudahkan pengeluaran simpanan mereka kerana caruman di KWSP boleh membantu mereka yang terkesan terutama untuk membayar hutang dan sebagainya.

Justeru, ketika rakyat sedang dalam kesempitan mendepani keadaan luar biasa akibat pandemik Covid-19, amat wajar sekali KWSP menyantuni keperluan mereka.

KWSP perlu memudahkan pihak pencarum bagi mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa mengenakan sebarang syarat dan diberikan pilihan untuk mengeluarkan sejumlah wang melalui skim i-Sinar itu.

Artikel Berkaitan:

Sebagai agensi yang menjadi harapan rakyat ketika ini, KWSP wajar menyemak semula syarat dan prosedur yang diumumkan sebelum ini dengan pendekatan lebih fleksibel.

Masih tidak terlambat untuk KWSP bertindak. Semoga rakyat tidak kecewa lagi.