Restoran digempur jalankan aktiviti hiburan

Polis menyerbu sebuah restoran berkonsep bar di Jalan Yew, Kuala Lumpur, kerana menjalankan aktiviti hiburan sehingga lewat pagi.
Polis menyerbu sebuah restoran berkonsep bar di Jalan Yew, Kuala Lumpur, kerana menjalankan aktiviti hiburan sehingga lewat pagi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengeluarkan 62 kompaun dalam serbuan Op Pusat Hiburan di sebuah restoran berkonsep bar di Jalan Yew, di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan kira-kira jam 1.40 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

Menurutnya, seramai 62 pengunjung terdiri daripada 45 lelaki dan 17 wanita tempatan berusia lingkungan 25 hingga 56 tahun telah dikenakan kompaun.

"Dua daripada pengunjung termasuk seorang wanita telah ditahan selepas ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

"Kedua-dua individu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati premis terbabit beroperasi dengan menjalankan aktiviti hiburan sehingga lewat pagi.

Katanya, kegiatan itu telah dijalankan sejak sebulan lalu.

Semalam, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah, dilanjutkan bermula esok hingga 20 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB itu dilanjutkan atas nasihat dan penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).