X

Kindly register in order to view this article
!

Kami sedia bekerjasama dengan UMNO: PH Perak

Gambar dari kiri: Datuk Asmuni Awi, Farhash Wafa, Nga Kor Ming
A
A

IPOH - Parti gabungan Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu yang lebih stabil di Perak.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, pihaknya sudahpun bersedia dan terbuka untuk mengadakan perbincangan yang membina mengenai usaha itu.

"Demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan dapat membentuk pimpinan kerajaan yang berbilang kaum, kukuh dan stabil," katanya menerusi aplikasi WhatsApp yang dikongsi kepada pemberita hari ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Asmuni Awi pula berkata, tiada masalah untuk mereka bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO sekiranya usaha itu boleh membentuk kerajaan yang stabil di Perak.

Bagaimanapun katanya, kerjasama yang dijalin itu nanti perlulah dilakukan atas nama gabungan PH, bukan untuk kepentingan satu-satu parti sahaja.

"Kami tidak menyertai UMNO, tetapi kami sedia bekerjasama untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat kerana keutamaan PH kini adalah untuk menjaga kepentingan rakyat yang sudahpun terkesan teruk dengan penularan wabak Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

Dalam nada sama, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut menyatakan kesediaan parti itu bekerjasama dengan UMNO membentuk kerajaan baharu di Perak.

"Ya, kami sudah bersedia untuk kebaikan rakyat," katanya ringkas.

Kesediaan ketiga-tiga parti itu disuarakan susulan pendirian UMNO hari ini, bahawa parti itu sedia bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan baharu di Perak sekiranya jajaran gabungan parti terdahulu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak dapat diteruskan.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kesal dengan keputusan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat lalu yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dewan menerusi usul undi percaya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula menyatakan parti itu membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!