Hubungan AS-Palestin pada era Biden tetap samar

Gambar fail menunjukkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (kiri) berjabat tangan dengan Joe Biden iaitu bekas Naib Presiden Amerika Syarikat di Ramallah, Tebing Barat pada tahun 2016. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (kiri) berjabat tangan dengan Joe Biden iaitu bekas Naib Presiden Amerika Syarikat di Ramallah, Tebing Barat pada tahun 2016. - Foto AFP
A
A
A

KEMENANGAN bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam pilihan raya Presiden AS pada 3 November lalu mungkin menjadi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Sebelum ini, Netanyahu yang berusia 71 tahun merupakan sekutu kuat kepada Presiden AS ketika ini, Donald Trump tetapi penggal perkhidmatannya akan berakhir pada 20 Januari tahun depan.

Perdana Menteri Israel itu pernah menganggap bahawa Trump yang berumur 74 tahun sebagai sekutunya yang paling kuat di Rumah Putih dan dasar-dasar luar yang menyenangkannya.

Beliau juga pernah membuat ciapan di Twitter dengan memberikan ucapan terima kasih kepada Trump kerana persahabatan yang telah ditunjukkan kepada negara Israel itu dan secara peribadi mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai hak negara Yahudi serta Bukit Golan yang bersempadan dengan Syria.

Dalam ciapannya itu, Netanyahu juga mengucapkan terima kasih kepada Trump kerana tindakannya ke atas Iran berhubung isu nuklear selain menjadi perantara dalam menormalkan hubungan antara Israel dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain serta Sudan.

Pada tahun 2018, Trump bertindak menarik diri daripada perjanjian nuklear antara kuasa-kuasa besar dunia dengan Iran yang dimeterai pada tahun 2015 ketika Barack Obama menjadi Presiden AS dan Biden menjadi Naib Presiden ketika itu.

Penduduk Palestin memperjuangkan penubuhan sebuah negara yang bebas daripada cengkaman pencerobohan Israel. - Foto AFP
Penduduk Palestin memperjuangkan penubuhan sebuah negara yang bebas daripada cengkaman pencerobohan Israel. - Foto AFP

Sebelum AS menarik diri daripada perjanjian itu, Netanyahu terlalu berat untuk menerimanya.

Artikel Berkaitan:

Perjanjian itu membolehkan sekatan ekonomi tidak dikenakan ke atas negara tersebut jika Tehran tidak mencipta senjata nuklear dan membenarkan para pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memeriksa program nuklearnya.

Ketika pentadbiran Trump, beliau juga mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan sebelum ini pernah merancang untuk memindahkan kedutaan AS di Tel Aviv ke ibu kota yang turut dituntut oleh Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada awal tahun ini menyatakan adalah sukar untuk menerima sebuah negara Palestin tanpa Baitulmuqaddis dan memberi amaran bahawa para penduduk Palestin akan menentang satu pelan damai yang dicadangkan oleh AS dan cuba untuk menghalangnya daripada menjadi kenyataan.

Pelan damai yang dicadangkan oleh Trump itu didakwa turut melibatkan wilayah Tebing Barat apabila rejim Zionis dibenarkan untuk mengekalkan sebanyak 30 peratus pendudukan di wilayah tersebut.

Ia juga meliputi pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah tersebut selama empat tahun.

Trump bukan sahaja mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang dirampas dalam peperangan enam hari pada tahun 1967 tetapi juga dikatakan telah mengelak untuk mengkritik penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Ketika era pentadbiran Trump juga, seorang saintis nuklear Iran yang dianggap bapa program senjata nuklear negara itu, Dr. Mohsen Fakhrizadeh mati ditembak dalam serangan hendap di luar Teheran pada 27 November lalu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri) dianggap oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan) sebagai sekutunya yang paling kuat. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri) dianggap oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan) sebagai sekutunya yang paling kuat. - Foto AFP

Dalam pada itu, lebih 60 peratus penduduk Israel percaya jika Presiden AS itu menang dalam pilihan raya negaranya pada November lalu, beliau akan memihak kepada negara Yahudi, menurut satu tinjauan pendapat sebelum ini.

Tinjauan pendapat Institut Demokrasi iaitu sebuah badan pemikir Israel yang dikeluarkan menjelang pilihan raya Presiden AS itu, hanya 17 peratus sahaja penduduk Israel bersetuju bahawa kemenangan Biden akan membawa kebaikan kepada negara Yaudi itu.

Satu lagi tinjauan pendapat yang dilakukan untuk stesen televisyen i24 yang beribu pejabat di Tel Aviv dan dibuat sebelum pilihan raya Presiden AS berlangsung mendapati lebih 63 peratus penduduk Israel berkata, Trump akan menjadi Presiden AS yang pro-Israel.

Namun, selepas Biden menang dalam pilihan raya itu, Abbas berharap hubungan antara Palestin dengan Washington akan diperkukuhkan lagi yang mana semasa era pentadbiran Trump, hubungan itu tidak berjalan seperti yang diharapkan oleh Palestin.

Harapan tinggi untuk memperkukuhkan hubungan tersebut disuarakan oleh Mahmoud kerana sebelum ini Trump telah bertindak menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin di Washington pada tahun 2018.

Mahmoud yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Biden dan bakal Naib Presiden AS, Kamala Harris baru-baru ini juga menaruh harapan supaya Biden dapat memperjuangkan keamanan di Asis Barat.

Namun, Biden pernah menegaskan bahawa beliau dan Netanyahu telah menjadi rakan selama 39 tahun.

Perdana Menteri Israel itu juga sebelum ini memuji Biden sebagai seorang rakan baik Israel yang mana beliau telah menjalin hubungan persahabatan dengannya sejak sekian lama.

Berdasarkan rekod, Biden pernah menyokong Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara Yahudi itu dua dekad sebelum Trump bertindak mengumumkan bandar tersebut sebagai ibu kota Israel.

Biden juga menyokong rang undang-undang Dewan Senat AS pada tahun 1995 untuk mewujudkan Kedutaan AS di Baitulmuqaddis menjelang tahun 1999.

Bakal Presiden AS itu juga dikatakan akan membuka sebuah konsulat AS di timur Baitulmuqaddis, menurut pasukan kempen Biden untuk pilihan raya Presiden AS itu sebelum ini.

Namun, pemimpin pembangkang yang pernah menjadi Menteri Kewangan Isarel, Yair Lapir ketika menyentuh tentang masa depan hubungan Israel dengan AS sama ada dingin atau akrab dilaporkan pernah berkata: "Presiden AS yang seterusnya akan menjadi seorang rakan kepada Israel." - Agensi