X

Kindly register in order to view this article
!

Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah pula diganggu ketukan misteri

Seorang individu memuat naik status di Facebook mendakwa misteri ketukan pintu menghantui penduduk di Kampung Paya Rumput.
A
A

ALOR GAJAH - Penduduk Kampung Paya Rumput Masjid Tanah di sini mendakwa dihantui misteri ketukan pintu yang kuat beberapa hari lalu sehingga mengejutkan penghuni beberapa buah rumah kira-kira jam 3 hingga 3.20 pagi.

Penduduk, Azizah Yassin, 59, berkata, dia terjaga daripada tidur apabila mendengar ketukan kuat dari arah rumah anak saudaranya tidak jauh dari rumahnya.

Katanya, dia mengejutkan suaminya tetapi diberitahu mungkin babi hutan.

"Jadi saya hanya meninjau melalui tingkap dan tidak berani membuka pintu kerana masih teringat misteri ketukan yang berlaku di Sabak Bernam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, menurutnya, keesokannya iaitu kelmarin, anak saudaranya menghubungi dan bertanyakan mengenai kejadian itu.

"Rupa-rupanya bukan rumahnya sahaja yang mengalami situasi itu malah beberapa jiran lain turut mendakwa rumah mereka diketuk dengan kuat.

"Setakat ini penduduk sudah maklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak masjid yang menasihatkan penduduk berhati-hati dan tidak membuka pintu," katanya.

Terdahulu, seorang individu memuat naik status di Facebook mendakwa misteri ketukan pintu tanpa salam menghantui beberapa rumah penduduk di Kampung Paya Rumput.

Sementara itu, JPKK Paya Rumput Azman Abu Hassan mengesahkan menerima lima aduan penduduk mengenai insiden itu yang berlaku awal pagi Rabu lalu.

"Kita tahu benda ghaib memang wujud, namun malam tadi (kelmarin) saya tidak terima sebarang aduan.

"Kita juga membaca surah Yasin di masjid malam tadi dan berharap kampung ini aman serta tiada lagi perkara yang mengganggu penduduk," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!