482 ditahan kerana ingkar arahan PKP: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 482 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 438 individu dikompaun, manakala 40 individu pula direman dan selebihnya dijamin.

“Antara kesalahan tertinggi dilaporkan ialah aktiviti pusat hiburan (137), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (128) dan tidak menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (101).

“Tidak memakai pelitup muka (69), rentas daerah dan negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (26) dan lain-lain kesalahan (21),” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata, Operasi Benteng semalam menahan 68 pendatang tanpa izin dan 10 tekong serta merampas tiga kenderaan darat dan sebuah bot.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, seramai 80,748 individu telah pulang ke tanah air dari 36 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 78 Hotel dan 17 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta, sejak 24 Julai lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,862 individu sedang menjalani kuarantin wajib manakala 502 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 68,384 individu telah dibenarkan pulang,” katanya.

Mengenai keperluan asas, beliau berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 692 premis perniagaan, termasuk peruncit, pemborong dan pengilang.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhan bekalan barangan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara berterusan dan mudah diperolehi,” katanya. - Bernama