Kanak-kanak dilapor hilang, rupanya bersama bapa kandung

Laporan berita tentang kehilangan Muhammad Afif Faiq Mohd Izmeet Iskandar.
Laporan berita tentang kehilangan Muhammad Afif Faiq Mohd Izmeet Iskandar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang semalam sebenarnya berada bersama bapa kandungnya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Muhammad Afif Faiq Mohd Izmeet Iskandar itu daripada bapa angkatnya berusia 57 tahun.

"Lelaki itu tinggal berdua bersama kanak-kanak tersebut di sebuah pangsapuri di Setapak Jaya di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Di mana Muhammad Afif Faiq?

"Dia menyedari kehilangan kanak-kanak itu setelah pulang dari kedai. Lelaki tersebut cuba mencari anak angkatnya di kawasan kediaman itu, namun gagal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rajab berkata, lelaki berkenaan telah hadir ke balai polis berhampiran untuk melaporkan kejadian tersebut.

"Tindakan hebahan melalui siaran media dan talian Nur Alert telah dibuat. Hasil siasatan lanjut, kita mendapati kanak-kanak tersebut dalam jagaan bapa kandungnya," katanya.

Beliau berkata, terdapat sedikit salah faham antara bapa kandung dan bapa angkat kanak-kanak itu sehingga mengakibatkan terjadinya isu berkenaan.

"Hasil pemeriksaan awal, kanak kanak tersebut dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju. Kita sedang merakam keterangan kesemua pihak termasuk kanak-kanak tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rajab berkata, selesai proses dokumentasi, kanak-kanak itu diserahkan semula kepada bapa angkatnya untuk tindakan lanjut.

"Kita menyeru agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak betul.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak atas maklumat dan tindakan segera yang diterima daripada orang ramai sehingga selesainya kejadian ini," katanya.