Bersatu lebih ideal kembali kepada UMNO

Hasmuni Hassan
Hasmuni Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) dilihat lebih ideal kembali bersatu menyertai UMNO dalam usaha mengukuhkan semangat penyatuan ummah.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hasmuni Hassan berkata, ia berikutan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menegaskan parti Melayu perlu bersatu bagi mengukuhkan penyatuan ummah.

Bagaimanapun, Hasmuni yang juga Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu berkata, beliau lebih bersetuju dengan saranan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa gesaan Muhyiddin itu tidak wajar menjadi retorik semata-mata kerana tujuan dua parti itu sama.

"Hanya langkah ini sahaja yang akan mengukuhkan penyatuan ummah selepas UMNO dan Pas bersatu melalui Muafakat Nasional. Permuafakatan ini menunjukkan hasil dan impak amat positif dan terbukti dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

"Logiknya kita tidak perlu banyakkan lagi kemunculan parti Melayu yang hanya lebih memecahbelahkan dan menyukarkan penyatuan ummah apatah lagi UMNO sudah melalui proses rejuvenasi dan pembaharuan total selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jika Bersatu masih mahu menjenamakan Perikatan Nasional (PN) dan mahu semua parti bernaung di bawahnya, ia hanya menunjukkan ego Bersatu ketika memiliki sedikit kuasa ketika ini.

"Itu pun atas ihsan UMNO yang menyokong PN walaupun tidak menyertainya, sekiranya beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan PN akan jatuh pada bila-bila masa," katanya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Perhimpunan Agung Bersatu 2020 menyeru semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah besar berbanding berpecah belah dalam kabilah kecil yang melemahkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyatakan isu UMNO-Bersatu yang dilihat tidak sebulu sebagai ujian yang perlu dihadapi semua pemimpin politik Melayu demi pengukuhan dan penyatuan ummah.