Kartel tukar daging haram jadi halal

Sebanyak 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta disita pihak berkuasa.
Sebanyak 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta disita pihak berkuasa.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] JOHOR BAHRU – Taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai semalam.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Operasi diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu mendapati kartel terbabit mengupah pekerja warga asing bagi melakukan kerja pembungkusan semula dengan mereka diberi kemudahan asrama penginapan di situ.

Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Maqis, Siti Nur Ahmad (tiga dari kiri) bersama pihak berkuasa yang turut serta dalam operasi bersepadu di Senai semalam.
Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Maqis, Siti Nur Ahmad (tiga dari kiri) bersama pihak berkuasa yang turut serta dalam operasi bersepadu di Senai semalam.

Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi berkata, dalam serbuan itu sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai RM30 juta telah disita.

“Buat masa ini kita masih menyiasat lagi bagaimana daging sejuk beku yang kebanyakannya diseludup dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina boleh terlepas masuk,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Operasi berkenaan turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Artikel Berkaitan:

Saiful Yazan Alwi
Saiful Yazan Alwi

Saiful Yazan berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mendapatkan stok daging sejuk beku dari luar negara sebelum dikatakan diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

"Bagi memastikan kegiatan penyeludupan terbabit berjaya, mereka (sindiket) dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.

"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa pula, sindiket turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit di Senai," katanya.

Pegawai Maqis menunjukkan cap palsu yang digunakan untuk proses pembungkusan semula daging sejuk beku.
Pegawai Maqis menunjukkan cap palsu yang digunakan untuk proses pembungkusan semula daging sejuk beku.

Saiful Yazan berkata, setelah itu, daging-daging terbabit akan diletakkan di satu bahagian khas untuk disimpan.

Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati daging yang dicurigai itu kemudian akan dibuat pembungkusan semula di dalam sebuah bilik yang dilengkapi mesin pemotong.

Difahamkan kerja-kerja pembungkusan itu dilakukan beberapa pekerja warga Bangladesh.

"Daging atau organ dalaman tersebut akan dimasukkan di dalam kotak sebelum ditampal dengan pelekat serta dicap dan dilabel seakan-akan daging terbabit adalah halal.

"Siasatan kita mendapati cap logo berkenaan ditempah dari sebuah premis percetakan di Ulu Tiram dekat sini. Malah, kita juga mengesan pembuatan pelekat yang dihasilkan sendiri di gudang berkenaan," katanya.

Antara pelekat dan cap halal dipercayai palsu yang ditemui di dalam gudang.
Antara pelekat dan cap halal dipercayai palsu yang ditemui di dalam gudang.

Tambahnya, daging 'halal' yang siap dibungkus semula kemudian akan diletakkan di peti simpanan bersuhu -18 darjah celcius. Malah ia juga dicampur dengan susunan daging lain yang memiliki sijil halal yang sah.

Katanya lagi, siasatan awal pihaknya mengesyaki ia adalah daripada sumber yang diperoleh dari loji penyembelihan tidak sah dan tidak diiktiraf oleh pihak Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

"Di gudang ini dipercayai ada daging yang sah dan tidak sah. Kita percaya, kalau daging itu halal, tidak akan ada proses pembungkusan semula," katanya.

Pegawai operasi membuat pemeriksaan daging sejuk beku dalam serbuan di sebuah gudang di Senai semalam.
Pegawai operasi membuat pemeriksaan daging sejuk beku dalam serbuan di sebuah gudang di Senai semalam.

Mengulas mengenai kaitan gudang serta pusat pemborong berkenaan jelasnya, pusat pemborong tersebut disyaki mendapatkan bekalan daripada gudang terbabit berikutan penemuan bukti resit jualan yang ditemui.

"Selain itu, beberapa barang lain turut ditemui antaranya cap halal serta pelekat palsu yang digunakan sindiket berkenaan," katanya.

Jelas Saiful, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejak bila kegiatan terbabit mula beroperasi selain mengesan rangkaian sindiket yang lain.

"Kita masih menyiasat lokasi daging terbabit diedar," katanya.

Tegasnya, Maqis memandang serius perkara ini dan tindakan undang-undang berkaitan serta akan bekerjasama dengan KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya.

Sinar Harian 23 November lalu mula mendedahkan mengenai syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jakim.

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal

Seludup daging sejuk beku: Maqis cabar lapor SPRM

Maqis tubuh pasukan khas siasat penyeludupan daging sejuk beku