Seludup daging sejuk beku: Maqis cabar lapor SPRM

Laporan Sinar Harian 22 November lalu. Gambar kecil: Saiful Yazan Alwi
Laporan Sinar Harian 22 November lalu. Gambar kecil: Saiful Yazan Alwi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mencabar mana-mana pihak untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mengesyaki sebarang ketirisan yang dilakukan pegawai dan anggota jabatan itu.

Ia susulan dakwaan berlakunya isu penyeludupan daging sejuk beku dari negara yang tidak mendapat status halal serta pengesahan kesihatan.

Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi berkata, beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil kepada Maqis bagi menyalurkan informasi berkaitan aktiviti berkenaan.

"Kita hendak tahu perkara sebenar. Saya perlukan informasi berkenaan dakwaan kemasukan daging sejuk beku libatkan kartel dan sebagainya.

"Ini libatkan makanan halal dan ia boleh menjadikan pengguna panik," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Saiful Yazan berkata, Maqis sememangnya mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di pintu masuk negara bagi kemasukan barang terutama melibatkan makanan seperti daging.

"Pihak kami akan memastikan syarat permit dipatuhi syarikat pengimport termasuklah sijil halal dan sijil kesihatan yang sah. Jika gagal, penahanan akan dilakukan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan berkenaan isu sedemikian adalah amat berat.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang ada maklumat boleh hantar sendiri kepada saya. Saya cadangkan supaya hantar juga laporan kepada SPRM untuk tindakan lanjut," katanya.

Saiful Yazan berkata, beliau juga sudah menghantar wakil pegawainya bertemu dengan pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mendapatkan maklumat lanjut seperti yang didakwa.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.

Menurut sumber, kebanyakan daging sejuk beku yang tidak mendapat pengiktirafan halal itu diimport dari benua Amerika melalui pelabuhan utama negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal