X

Kindly register in order to view this article
!

'Hati-hati Warisan, jangan sampai dilabel penyokong PN'

Fahmi Fadzil
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mengingatkan Parti Warisan Sabah (Warisan) supaya bersedia sekiranya wujud persepsi mengatakan parti dari Sabah itu membantu kerajaan Perikatan Nasional kekal memerintah.

Peringatan Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dikeluarkan selepas ketiadaan seorang pun ahli Parlimen Warisan sewaktu hari pertama perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, kelmarin.

“Satu kerugian buat Pakatan Harapan (ahli Parlimen Warisan tidak hadir). Maka jangan terkejut kalau orang mengatakan atau wujud persepsi yang membantu mengekalkan kerajaan pada ketika ini adalah Warisan. Jangan terkejut.

“Saya tidak percaya perkara seperti itu tetapi kalau timbul persepsi, pihak Warisan perlu memberi penjelasan. Saya harap tidak benar dan tidak betul,” kata Fahmi yang juga Ahli Parlimen Pantai Dalam kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan Warisan melalui Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang mengatakan ketidakhadiran semua ahli Parlimen Warisan ke Dewan Rakyat memang disengajakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Warisan tidak hadir undi sebab kecewa dengan Anwar

Tidak hadir sidang Dewan Rakyat kerana pulang ke Sabah

MP Warisan tidak hadir Dewan Rakyat mungkin arahan Dr Mahathir

Malah Rozman dilaporkan berkata, alasannya mereka mahu menunjukkan rasa kecewa dan penat terhadap pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rozman berkata, beliau bersama wakil lain Warisan berada di Kuala Lumpur namun bersepakat untuk tidak hadir dalam sesi undian berkenaan sebagai cara ‘menghantar isyarat’ kepada Pakatan Harapan (PH).

Selain Rozman, ahli parlimen Warisan yang tidak hadir hari ini ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Isnaraissah Munirah Fakharudy (Kota Belud), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Turut tiada dalam Dewan Rakyat ialah Chow Kon Yeow (Tanjung), Christina Liew (Tawau), Masir Kujat (Sri Aman) dan Awang Husaini Sahari (Putatan).

Dalam pada itu Fahmi menjelaskan, sehingga hari ini masih tiada penjelasan dibuat oleh kepimpinan Warisan terhadap dakwaan berkenaan.

“Kita sebenarnya belum ada pertemuan dengan pihak Warisan untuk mendapatkan penjelasan daripada mereka. Dalam keadaan sekarang saya rasa memang bila tiba waktu untuk belah bahagi, terpulang kepada ahli Parlimen masing-masing dan mereka boleh gunakan alasan apa-apa sekalipun.

“Tetapi isunya rakyat sentiasa akan melihat dan menilai keputusan yang kita buat sama ada keputusan untuk tidak berdiri membuat belah bahagi pada Khamis lalu ataupun sewaktu undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa.

“Bagi PKR dan pihak Ketua Pembangkang, sudah jelas kita tidak mahu menolak kesemuanya sebab ada yang difikirkan bersesuaian dan tidak bermasalah. Ini adalah bukti apa yang kita sebutkan sebelum ini. Jadi terpulang pada Warisan apa yang mereka mahu lakukan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!