PH, BN bersaing sengit di Negeri Sembilan - Vodus Research

PH diunjurkan mendahului tipis dalam PRN Negeri Sembilan 2026 berdasarkan tinjauan terbaharu Vodus Research.
PH diunjurkan mendahului tipis dalam PRN Negeri Sembilan 2026 berdasarkan tinjauan terbaharu Vodus Research.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) diunjurkan mendahului tipis dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 berdasarkan tinjauan terbaharu Vodus Research.

Bagaimanapun, persaingan dengan Barisan Nasional (BN) masih terbuka kerana kedua-dua gabungan belum mencapai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Berdasarkan tinjauan itu, PH diunjurkan mendahului di 17 kerusi, BN di 15 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) di dua kerusi, dengan dua lagi kerusi yang menyaksikan persaingan BN-PH masih belum dapat diputuskan.

Majoriti mudah memerlukan 19 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menunjukkan sama ada PH mahupun BN belum mengamankan jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Pengasas Vodus Research, Dr Kelvin Goh berkata, persaingan antara PH dan BN kekal sangat rapat, dengan BN mempunyai lebih banyak kerusi yang mendahului secara jelas, namun PH memperoleh sedikit kelebihan apabila kerusi dipertandingkan secara sengit diambil kira.

"Ini kekal sebagai persaingan yang sangat rapat. BN mempunyai lebih banyak mendahului yang jelas, tetapi PH memegang sedikit kelebihan apabila kerusi yang dipertandingkan secara sengit dimasukkan.

"Ini bermakna hasil akhir masih boleh pergi ke mana-mana arah, dan dewan tergantung tidak boleh ditolak.

"Pada akhirnya, prestasi kempen, peratusan keluar mengundi dan bagaimana parti menguruskan medan tempur kerusi sengit akan menentukan siapa yang mencapai 19 kerusi," katanya.

Dari segi undi popular di seluruh negeri, PH mendahului dengan 42 peratus, diikuti BN sebanyak 35 peratus dan PN tujuh peratus. Calon bebas memperoleh dua peratus, manakala 14 peratus responden masih belum membuat keputusan atau tidak mendedahkan pilihan mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kelvin, kelebihan PH dalam undi popular tidak secara automatik diterjemahkan kepada majoriti kerusi di bawah sistem first-past-the-post, kerana taburan geografi sokongan turut memainkan peranan penting.

Katanya, walaupun BN mempunyai 15 kerusi yang mendahului secara jelas berbanding sembilan oleh PH, PH kini berada di hadapan dalam lapan daripada 10 kerusi dipertandingkan secara sengit, sekali gus meningkatkan unjuran keseluruhannya kepada 17 kerusi.

Dapatan kajian turut menunjukkan corak sokongan yang berbeza mengikut kumpulan etnik. Dalam kalangan pengundi Bumiputera, BN mendahului dengan 41 peratus, diikuti PH sebanyak 27 peratus dan PN 25 peratus.

Dalam kalangan pengundi Cina pula, PH memperoleh sokongan tertinggi sebanyak 59 peratus berbanding BN 20 peratus dan PN sembilan peratus, manakala dalam kalangan pengundi daripada etnik lain, PH mendahului dengan 42 peratus diikuti BN 32 peratus dan PN 21 peratus.

Vodus Research turut melaporkan kelebihan utama BN berbanding PH ialah skor kepercayaan bersih, apabila BN mencatatkan 45 peratus berbanding PH sebanyak 19 peratus dan PN lima peratus.

Laporan itu menyatakan dapatan berkenaan menunjukkan BN mempunyai kelebihan lebih jelas apabila pengundi menilai keyakinan berbanding ketidakpercayaan terhadap keupayaan parti menguruskan Negeri Sembilan.

Dari aspek kepimpinan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merekodkan penarafan kebolehgemaran sebanyak 32 peratus, lebih rendah berbanding 58 peratus yang dicatatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam tinjauan pilihan raya Johor oleh Vodus Research sebelum ini.

Kajian itu juga mendapati kos sara hidup menjadi isu paling utama kepada pengundi apabila 55 peratus memilihnya sebagai antara tiga isu teratas, diikuti pekerjaan dan gaji (34 peratus), kemampuan memiliki rumah (26 peratus), serta rasuah dan tadbir urus (24 peratus).

Isu lain yang turut menjadi perhatian ialah pembangunan ekonomi negeri, keselamatan dan jenayah, keharmonian agama dan kaum, pendidikan, perkhidmatan majlis tempatan serta kualiti calon.

Kajian itu turut menunjukkan sekitar 70 peratus responden menyatakan pilihan mereka adalah pasti sepenuhnya atau agak pasti, manakala 30 peratus lagi masih boleh berubah atau belum pasti.

Bagi niat keluar mengundi, 71 peratus responden berkata mereka berkemungkinan atau sangat berkemungkinan mengundi, namun hanya 51 peratus meletakkan diri mereka dalam kategori "sangat berkemungkinan" untuk keluar mengundi.

Kelvin berkata, dalam kalangan mereka yang berisiko tidak mengundi, faktor paling utama ialah berada atau melakukan perjalanan di luar Negeri Sembilan, diikuti kesulitan, komitmen kerja dan tinggal di luar kawasan pengundian.

Beliau berkata keputusan akhir berkemungkinan ditentukan oleh tiga faktor utama iaitu keupayaan BN mengekalkan sokongan pengundi Melayu, PH mengekalkan kelebihan dalam kalangan pengundi Cina dan pengundi lain sambil meningkatkan kadar keluar mengundi, serta keupayaan kedua-dua parti mengurus persaingan di kerusi-kerusi sengit.

Tinjauan itu dijalankan terhadap 437 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan dari 9 hingga 21 Julai 2026 menggunakan kaedah tinjauan dalam talian Vodus OMTOS.

Sampel yang dibersihkan dipos-stratifikasikan mengikut komposisi etnik, umur dan jantina kerusi negeri berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!