X

Kindly register in order to view this article
!

Warisan tidak hadir undi sebab kecewa dengan Anwar

Rozman Ali
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah (Warisan) bersepakat untuk tidak hadir dalam sesi undian ke atas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat semalam adalah kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Ali, ketiadaan mereka di Dewan Rakyat memang disengajakan.

Beliau yang juga Ketua Whip Warisan berkata, alasan yang berikan adalah mahu menunjukkan rasa kecewa mereka kepada kepimpinan Anwar Ibrahim.

"Kami dah penat dengan apa yang berlaku dalam blok pembangkang.

"Jadi buat masa ini keputusan kami ialah kami tidak akan menyertai sesi undi belah bahagi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tegasnya, mereka kecewa dengan 'perbalahan' berterusan yang akhirnya menyebabkan kerajaan PH jatuh baru-baru ini.

Menurut beliau mewakili Warisan, pihaknya amat kecewa dengan arahan saat-saat akhir Anwar semasa pengundian Belanjawan 2021 pada peringkat dasar pada Khamis lalu.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

"Sepatutnya pembangkang perlu sedar keputusan tegas harus dibuat.

"Seperti apa yang berlaku pada Khamis yang lalu, kami diberitahu mengenai tidak menyokong undi belah bahagi pada saat-saat terakhir. Ia mengecewakan,” katanya lagi.

Menurut Rozman lagi, Warisan masih berada dalam blok pembangkang, namun pada masa sama parti itu mahu menyampaikan mesej kepada pemimpin yang berkenaan, mereka tidak mahu didorong tanpa hala tuju.

Beliau juga berkata, strategi yang dibuat Anwar agak kurang tepat.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 26 November lalu, melepasi halangan pertamanya selepas cubaan mencabar sokongan ke atas usul itu gagal di Dewan Rakyat.

Semalam, Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa menyaksikan bajet Jabatan Perdana Menteri lulus selepas undi belah bahagi menyaksikan 105 bersetuju, 95 membantah dan 20 tidak hadir. Bajet Kementerian Kewangan juga lulus dengan 106 bersetuju, 95 membantah dan 19 tidak hadir.

Mengikut kiraan semasa, jika semua 107 ahli Parlimen pembangkang hadir termasuk ahli Parlimen Warisan, bajet peringkat jawatankuasa beberapa kementerian tersebut mungkin gagal.

Selain Rozman, Ahli Parlimen Warisan yang tidak hadir di Dewan Rakyat termasuk, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Isnaraissah Munirah Fakharudy (Kota Belud), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Ahmad Hassan (Papar) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Turut tiada dalam Dewan Rakyat ialah Chow Kon Yeow (Tanjung), Christina Liew (Tawau), Masir Kujat (Sri Aman) dan Awang Husaini Sahari (Putatan).

ARTIKEL BERKAITAN: MP Warisan tidak hadir Dewan Rakyat mungkin arahan Dr Mahathir

Tun M kritik pembangkang tidak bangun sokong undi belah bahagi

‘Anwar berdepan krisis kepimpinan’

Semua ahli Parlimen PN diarah hadir ke Parlimen


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!