DAP akan kekal parti berbilang kaum, tolak label parti Cina - Anthony Loke

KUALA LUMPUR - DAP akan kekal sebagai parti berbilang kaum dan menolak stigma yang melabelkannya sebagai sebuah parti Cina, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Menurut beliau, DAP tidak boleh lagi berpatah balik dengan hanya menumpukan usaha meraih sokongan daripada satu kaum semata-mata, meskipun parti itu masih sering dikaitkan dengan persepsi sebagai parti Cina.
“Sebagai seorang pemimpin DAP harus kekalkan pendirian dan matlamat untuk menjadi sebuah parti yang fokus kepada berbilang kaum,” katanya menerusi wawancara audio siar The Tiger Show Podcast yang disiarkan pada Khamis.
Menurut Anthony, DAP kini turut diwakili Ahli Parlimen Melayu seperti Syahredzan Johan (Bangi) dan Young Syefura Othman (Bentong) sekali gus mencerminkan perubahan komposisi parti yang tidak lagi tertumpu kepada satu kaum.
Tambah beliau, DAP juga mempunyai Ahli Parlimen dalam kalangan masyarakat India serta Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, sekali gus memperkukuh kedudukan parti itu sebagai sebuah parti berbilang kaum.
"Kalau kita hanya fokus kepada bangsa Cina, macam mana dengan Ahli Parlimen Melayu? Jadi sudah tentu kita kena kekalkan pendekatan merentasi kaum," katanya.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berpandangan, perubahan demografi di kebanyakan kawasan yang diwakili DAP turut menyaksikan komposisi pengundi kini semakin berbilang kaum dan tidak lagi didominasi oleh satu etnik.
Beliau berkata, perubahan itu dapat dilihat di kawasan DUN Chennah yang ditandinginya, yang sebelum ini merupakan kawasan majoriti pengundi Cina tetapi kini mempunyai 47 peratus pengundi Melayu, sekali gus melebihi jumlah pengundi Cina.
"Di Parlimen Seremban pula, lebih separuh daripada pengundi adalah dalam kalangan masyarakat Melayu.
"Jadi walaupun sukar dan berdepan dengan pelbagai cabaran, bagi saya DAP tidak boleh menoleh ke belakang, sebaliknya mesti terus melangkah ke hadapan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, setiap dasar dan perkhidmatan yang dilaksanakan perlu memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Menurutnya, inisiatif seperti sistem bidaan nombor pendaftaran secara dalam talian (e-bidding) dilaksanakan untuk semua pemilik kenderaan, bukannya hanya untuk sesuatu kaum.
Tambah beliau, usaha memperkasa pengangkutan awam juga bertujuan meningkatkan kemudahan kepada semua rakyat secara inklusif.
"Kita nak bawa satu politik yang tidak lagi melihat kepada faktor kaum, bina politik yang lebih progresif. Tetapi realitinya, politik di negara ini masih menggunakan isu perkauman sebagai senjata,” katanya.
Beliau mengakui, usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap DAP bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan masa.
Katanya, cabaran itu turut diburukkan dengan penyebaran maklumat tidak tepat serta fitnah, sekali gus menyebabkan parti berkenaan menjadi mangsa salah tanggapan masyarakat.
"Saya berharap kita dapat meyakinkan pengundi melalui keikhlasan kita bekerja di peringkat akar umbi.
Apa yang kita lakukan setiap hari, termasuk membantu rakyat tanpa mengira waktu, diharapkan dapat membina keyakinan mereka terhadap kita,” katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
