Polis cari punca dadah diseludup dalam lokap

Polis siasat bagaimana dadah boleh dibawa masuk ke dalam lokap untuk kegunaan tahanan. - Foto hiasan 123RF
Polis siasat bagaimana dadah boleh dibawa masuk ke dalam lokap untuk kegunaan tahanan. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan mencari punca bagaimana dadah boleh dibawa masuk ke dalam lokap dan akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak bertindak dan tiada istilah pilih kasih sebaliknya semua akan disiasat tanpa mengira pangkat.

"Semuanya sama sahaja apabila tindakan diambil. Bagi tahanan lokap yang lebih seminggu, pihak JSJN akan membuat ujian saringan air kencing terhadap mereka untuk melihat sama ada terdapat kesan pengambilan dadah atau tidak.

"Kita akan cari punca bagaimana dadah boleh masuk dalam lokap. Kita juga sudah mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam pengedaran dadah ke dalam lokap seperti kes yang dilaporkan di Langkawi," katanya.

Kamarulzaman Mamat
Kamarulzaman Mamat

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini yang disempurnakan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid.

Mengulas dakwaan terdapat kes penyeludupan bekalan dadah di lokap di Kota Tinggi baru-baru ini, Kamarulzaman berkata, pihaknya belum menerima laporan berkaitan kes itu dan akan membuat semakan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, insiden tersebut pernah berlaku di Pulau Pinang melibatkan seorang anggota polis membawa masuk dadah ke dalam lokap namun sudah pun diambil tindakan.

Jelasnya, terdapat beberapa lagi kes serupa melibatkan anggota polis selain daripada ahli sindiket yang ditahan dalam lokap.

"Antara faktor berlakunya kes penyeludupan dadah ialah mengambil kesempatan terhadap penagih dadah yang ditahan, menggunakan kelompongan yang ada terutama semasa mereka ini dibawa ke mahkamah," katanya.