Semua ahli Parlimen PN diarah hadir ke Parlimen

Jumlah terkini ahli Parlimen Malaysia.
Jumlah terkini ahli Parlimen Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dikerah hadir sepanjang sesi penggulungan dan undian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bermula hari ini sehingga 15 Disember nanti.

Sumber memberitahu Sinar Harian, arahan tersebut diberikan kepada semua ahli Parlimen PN menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

“Semua ahli Perlimen kerajaan diarah hadir ke Parlimen hari ini. Arahan itu melalui WhatsApp. Ia berkaitan dengan undian Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa,” katanya hari ini.

Dewan Rakyat yang menyambung sidang hari ini, dijangka terus hangat dengan tumpuan terarah kepada sesi perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa.

Kehadiran semua 112 ahli Parlimen PN termasuk ahli Parlimen Bebas, Jugah Muyang (menyokong PN) di Dewan Rakyat adalah penting kerana kegagalan lima orang wakil rakyat PN berisiko menyebabkan undian bajet kementerian gagal diluluskan.

Jadual aturan giliran sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa.
Jadual aturan giliran sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa.

Blok pembangkang ketika ini mempunyai 107 ahli Parlimen termasuk wakil rakyat Pakatan Harapan, Pejuang, Parti Sarawak Bersatu dan Muda. Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik pula ketika ini merupakan ahli Parlimen Bebas.

Hari ini, dua kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan akan memulakan perbahasan dengan sesi penggulungan dan undian dijangka diselesaikan petang ini.

Artikel Berkaitan:

Hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan berada dalam dewan ketika sesi soal jawab lisan berlangsung dan kebenaran masuk semua ahli Parlimen akan diberi sebaik sesi penggulungan bagi setiap kementerian bermula.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari ketika dihubungi mengesahkan menerima arahan berkenaan.

“Ya benar. Semua ahli Parlimen PN diminta bersiap sedia hadapi undi belah bahagi. Semua ahli Parlimen daripada Pas akan hadir,” katanya.

Berdasarkan aturan giliran sesi penggulungan RUU, dua atau tiga kementerian akan menggulung perbahasan setiap hari sehingga hari terakhir perbahasan.

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

Beberapa kementerian yang banyak disentuh sepanjang sesi perbahasan peringkat dasar, diletakkan pada hari-hari penghujung antaranya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan (KPKT) pada 9 Disember, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (10 Disember) serta Kementerian Pendidikan (15 Disember).

Paling hangat disentuh adalah isu peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Isu itu dijangka akan kembali menghangatkan dewan melibatkan aspek pemotongan peruntukan dana yang tinggi selain kaedah pemilihan kakitangannya.

Bagi Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, biarpun Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan tetap menolak mana-mana butiran-butiran belanjawan yang tidak mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat.

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri

“Kita akan tetap mengundi tetapi saya tengok kami dalam BN ada perkara-perkara yang kita tidak setuju dan kita akan bangkang. Antaranya isu melibatkan KPKT yang memperuntukkan belanjawan yang tinggi semata-mata untuk satu kumpulan komunikasi di kementerian itu dan sudah tentu melibatkan J-KOM.

“Sekarang ini duit perlu dibelanjakan untuk Covid-19. kita kena fokus bagaimana nak lawan virus itu. Pada saya juga petugas barisan hadapan perlu bagi peruntukan yang lebih dan bukannya kumpulan atau jabatan yang tidak menguntungkan kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau menambah, setakat ini beliau hanya menerima arahan daripada Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim untuk hadir pada sesi penggulungan.