Tiada cadangan bahas laporan Suhakam di Dewan Rakyat

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum bercadang membuka atau membawa satu usul untuk membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana urusan-urusan kerajaan perlu didahulukan, selain kerajaan tidak mempunyai masa yang mencukupi.

Takiyuddin bagaimanapun berkata, ahli Parlimen yang berminat untuk membahaskan usul itu secara tidak langsung boleh memetik kandungan laporan itu mengikut masa yang sesuai.

"Saya ingin memetik Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 atau Akta 597 yang berbunyi, 21 (1) suruhanjaya hendaklah tidak terkemudian daripada mesyuarat pertama Parlimen bagi tahun yang berikutnya mengemukakan satu laporan tahunan kepada Parlimen mengenai segala aktivitinya di sepanjang tahun yang dimaksudkan oleh laporan itu.

"Berdasarkan kepada Seksyen 21 yang telah saya bacakan tadi sebagaimana kertas-kertas statut yang lain, maka kertas statut Suhakam yang dinamakan sebagai kertas statut nombor 88 tahun 2020 telah pun dikemukakan dan diletak di atas meja ahli Parlimen sebagai risalah yang dibawa ke dalam majlis.

"Berdasarkan kepada peruntukan tersebut, ia tidak wajib dibahasakan. Namun demikian kerajaan menyatakan bahawa sekiranya ada ahli Parlimen yang berminat untuk membahasakan perkara ini secara tidak langsung, mereka bolehlah memetik kandungan-kandungan yang ada ini untuk menjadikan bahan perbahasan yang sesuai dalam masa yang sesuai," katanya ketika pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata bagi menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berhubung sama ada kerajaan berniat membenarkan laporan tahunan Suhakam dibahaskan oleh Dewan Rakyat seperti yang dilakukan tahun lalu.

[LIVE] Sidang Parlimen Dewan Rakyat (Sesi Pagi) - 1 Disember 2020

[LIVE] Sidang Parlimen Dewan Rakyat (Sesi Pagi) - 1 Disember 2020 #SinarHarian #Parlimen #DewanRakyat

Artikel Berkaitan:

Posted by Sinar Harian on Monday, November 30, 2020