X

Kindly register in order to view this article
!

Rugi RM1,500 ditipu 'bapa mertua'

Seorang pengurus ladang membuat laporan polis mendakwa ditipu individu menyamar sebagai bapa mertuanya hingga kerugian RM1,500 kelmarin. Gambar kecil: Supt Wazir
A
A

KUANTAN - Seorang pengurus ladang membuat laporan polis mendakwa ditipu individu menyamar sebagai bapa mertuanya hingga kerugian RM1,500 kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, berdasarkan laporan polis dibuat pengadu berusia 30 tahun itu, isterinya menerima pesanan daripada suspek melalui WhatsApp menggunakan profil bapa mertuanya (bapa isteri) pada malam, 29 November lalu.

Menurutnya, berdasarkan mesej WhatsApp itu, suspek meminta untuk meminjam wang daripada isteri pengadu sebanyak dua kali berjumlah RM800 dan RM700.

"Suspek meminta wang tersebut dimasukkan ke akaun bank atas nama rakannya bernama 'Ustaz Saiful'.

"Pengadu membantu isterinya dengan memindahkan wang melalui akaun banknya ke akaun bank yang diberikan suspek pada hari yang sama," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas pemindahan wang itu dibuat, pengadu dan isteri menghubungi nombor WhatsApp tersebut namun gagal.

"Pengadu dan isteri kemudian menghubungi bapa mertuanya untuk bertanyakan berhubung perkara itu namun lelaki tersebut menafikan kerana dia tidak pernah menghantar WhatsApp kepada anaknya untuk meminjam wang.

"Menyedari telah ditipu, pengadu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Melati Bandar 13, Bandar Tun Razak, Rompin semalam berhubung kes penipuan itu," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya percaya suspek menyamar sebagai ahli keluarga sebagai modus operandi untuk memperdaya hingga mendorong mangsa menyerahkan atau membayar wang yang diminta.

"Susulan laporan polis dibuat pengadu, polis membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!