Saya langsung tak takut: Saarani

Saarani (duduk, kiri) ketika sidang media bersama beberapa Adun pembangkang.
Saarani (duduk, kiri) ketika sidang media bersama beberapa Adun pembangkang.
A
A
A
IPOH - Umno Perak mengalu-alukan laporan polis yang ingin dibuat Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung isu undi tidak percaya kepada Menteri Besar Perak.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, Kor Ming perlu menyegerakan laporan polis tersebut supaya siasat cepat dilakukan dan apabila polis memanggilnya nanti, semua Adun Umno akan memberikan kenyataan terhadap dakwaan tersebut.

“Jangan cabar saya, kalau cabar saya, saya pun tak ada sebab nak simpan benda ini. Dalam Dewan (Negeri) nanti saya jawab, Adun saya akan berdiri mengaku dia dihubungi oleh siapa. Takut (mereka) malu. Pada pendapat saya menteri besar tahu (tentang usul undi tidak percaya).

“Saya mengalu-alukan mereka buat laporan polis. Bila lapor polis, polis akan panggil saya dan saya akan heret semua Adun Umno beri keterangan. Lagi cepat lagi bagus,” katanya pada sidang media di Bilik Sidang Media Dun Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Terdahulu, Kor Ming dalam sidang medianya mengakui terdapat komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan akan membuat laporan polis terhadap perkara tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Memang ada komplot jatuhkan MB Perak]

Sementara itu, Saarani turut memperincikan butiran dakwaan bahawa Adun Umno didekati wakil PH termasuk Exco kerajaan negeri untuk memujuk menyokong usul undi tidak percaya ke atas Menteri Besar Perak.

Menurutnya, pertemuan pertama melibatkan wakil Amanah yang berjumpa dengan beberapa Adun Umno meminta sokongan kepada Amanah untuk mereka melaksanakan undi tidak percaya kepada menteri besar.

“Rakan-rakan saya daripada Umno yang setia melaporkan kepada saya, mereka telah ditemui, dihasut, dijanjikan supaya menyokong Amanah, jadi rakan-rakan saya setelah berjumpa dengan utusan tersebut dia beritahu saya apa sebenarnya berlaku.
Artikel Berkaitan:


“Jadi fahamlah sebenarnya mereka nak ambil sekurang-kurangnya dua orang Umno untuk membantu menyokong Amanah,” katanya.

Bagaimanapun Saarani berkata, pada 2 November lalu, seorang Exco berjumpa dengan seorang Adun Umno selepas Majlis Bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan Sultan Perak di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.

“Tindakan itu disifatkan sebagai berani kerana Amanah sebelum ini cuma menghantar wakil dan bukan Exco kerajaan negeri dan pada 15 November lalu, saya menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada salah seorang Adun Umno ketika hari terakhir menunaikan Umrah,” katanya.

Menurutnya, dalam kandungan SMS itu, Adun Umno tersebut mendedahkan ditawar jawatan Exco kerajaan negeri atau jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika memberi sokongan terhadap kerajaan baharu Perak yang ingin ditubuhkan.

“Saya ingat habis dah. Rupanya Jumaat lepas ada seorang lagi Adun saya ditemui oleh orang yang sama dengan matlamat yang sama. Maka kerana itu pada perjumpaan dengan Presiden Umno saya sebut dalam ucapan saya bahawa kerajaan sedia ada ini tak stabil.

“Saya nak ingatkan rakan-rakan saya di sebelah sana, jangan jadi munafik. Antara ciri-ciri munafik ada tiga salah satu daripadanya adalah bercakap bohong. Di depan kata sokong MB, di belakang dia mengutuk MB dia buat kerja untuk jatuhkan MB,” katanya.

Mengenai dakwaan Exco Kerajaan Perak, Asmuni Awi bahawa beliau ditawarkan jawatan Menteri Besar Perak selepas dihubungi wakil pembangkang, Saarani menjelaskan individu tersebut tiada kaitan dengan Umno.

Menurutnya, tiada sebarang arahan dibuat supaya individu tersebut memujuk atau menghubungi Asmuni untuk menawarkan jawatan menteri besar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!