Peluang untuk peniaga kembali bernafas

No Image Caption
A
A
A

LANGKAH Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya mulai 15 November lalu menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat.

Di satu pihak, cadangan itu menimbulkan kebimbangan jika kebenaran itu disalah guna dan memberi kesan seperti menghalang lalu lintas, merosakkan kemudahan awam, menimbulkan ketidak selesaan awam serta tidak menjaga kebersihan.

Pihak lain pula menyambut baik hingga ada berpendapat tindakan DBKL itu dapat membantu lebih 30,000 peniaga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terjejas akibat pandemik Covid-19 terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keprihatinan membenarkan warga kota berniaga ternyata memberi ruang kepada golongan yang terjejas untuk ‘bernafas’ semula.

Abang Mat yang menjual pakaian bundles dan Kak Kiah yang meniaga karipap dan pisang goreng yang sebelum ini tidak dapat berniaga, kini berasa senang hati.

Tapi pastikan tempat yang dipilih selamat, tak mengancam keselamatan awam, tak menyebabkan kesesakan lalu lintas dan paling penting, kena jaga kebersihan.Untuk berniaga, bukannya boleh buka meja dan pacak payung sesuka hati kerana perlu memohon lesen perniagaan sementara di laman web DBKL secara percuma.

Setakat 23 November lalu, sebanyak 1,797 permohonan Lesen Sementara KL Prihatin diluluskan DBKL dengan 728 pemohon diluluskan serta-merta manakala 402 pemohon diberi kelulusan bersyarat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, baki permohonan masih dalam proses dan program itu dijangka memanfaatkan 3,000 keluarga di Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Lesen sementara itu membenarkan aktiviti perniagaan penjaja di mana sahaja di Kuala Lumpur untuk tempoh enam bulan bermula 15 November hingga 15 April tahun depan.

Katanya, apabila DBKL mengumumkan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan bebas berniaga bukan bermakna ia bebas daripada pelaksanaan undang-undang.

Annuar sendiri memberi jaminan akan memastikan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dalam keadaan terkawal di bawah pemantauan pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut meminta masyarakat dan pihak tertentu supaya tidak skeptikal dan menegaskan inisiatif itu hanya untuk tempoh sementara bagi membantu golongan terjejas akibat Covid-19.

Kelonggaran yang diberikan sememangnya harus dipuji kerana ia melibatkan kelangsungan rakyat yang kini semakin tersepit.

Apa yang dilakukan DBKL itu wajar mendapat pujian dan menjadi contoh dalam memastikan rakyat terus terbela nasib mereka yang sedang bergelut dengan kemelut sara hidup dalam meneruskan kehidupan mereka, malah boleh diikuti oleh PBT yang lain.

Kelonggaran itu juga akan merancakkan kitaran ekonomi rakyat terutama golongan B40 sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan yang berdikari mencari pendapatan tanpa mengharapkan makan gaji semata-mata.

Pada masa yang sama, peniaga-peniaga perlu mengikut undang-undang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana kita tidak mahu golongan itu menjadi sebab penularan kes Covid-19 dan membentuk satu kluster yang baharu.

Peniaga makanan perlu mengambil suntikan tifoid bagi menjamin kesihatan diri dan kebersihan makanan kerana langkah itu penting untuk memastikan tiada masalah berbangkit apabila peluang berniaga ini dibuka lebih luas.

Warga kota perlu gunakan kesempatan ini untuk mencari pendapatan tambahan dan jangan sia-siakan. Bagi yang mendapat lesen kelak, jangan pula memajak kepada warga asing untuk berniaga kerana peluang yang diberikan ini harus dimanfaatkan rakyat tempatan.

Aspek kebersihan jangan diabaikan. Peniaga perlu mencontohi peniaga di Bangkok, Thailand yang begitu menjaga kebersihan sehinggakan tiada satu sampah pun kelihatan di tempat sama pada keesokan harinya.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian